Banjir pulih, dua PPS di Taiping ditutup

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 30, 2022 04:30 MYT
Mangsa banjir kilat membersihkan rumah ibu bapanya selepas ditenggelami air ekoran hujan lebat di Taman Seri Kota Fasa Dua. - Foto fail/BERNAMA
TAIPING: Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Taiping ditutup selepas banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di sini sejak Ahad, pulih sepenuhnya hari ini.
PPS Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Sungai Baru, Trong yang menempatkan 14 mangsa dari empat keluarga ditutup jam 7.30 malam tadi.
Perkara itu disahkan Pegawai Daerah Larut Matang Selama (LMS) Mohd Nasrul Menhat dalam kenyataan malam tadi.
PPS berkenaan dibuka jam 3 pagi Isnin bagi menempatkan mangsa banjir dari Kampung Sungai Nyior.
Dalam kenyataan berasingan pagi ini, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah LMS berkata, PPS di DOR Air Kuning ditutup 9.30 pagi ini selepas baki 15 mangsa dari dua keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
PPS itu dibuka jam 8 malam Ahad bagi menempatkan 41 mangsa dari 11 keluarga di Kampung Larut Ulu.
#banjir #PPS #mangsa #Kampung Sungai Baru