KOTA KINABALU: Susulan kejadian air pasang besar dan ombak besar di Pitas, seramai 223 mangsa daripada 52 keluarga telah dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, dua PPS tersebut dibuka dan diaktifkan pada jam 8 pagi ini.

PPS di Dewan Kampung Mempakad menempatkan 168 mangsa daripada 37 keluarga sementara PPS di Balai Raya Agropolitan Kampung Pinggan-Pinggan, 55 mangsa daripada 15 keluarga.

Menurut sekretariat itu juga, berlaku satu fenomena air pasang besar dan ombak besar laut di daerah Pitas, menyebabkan beberapa kawasan pesisir pantai yang dikenal pasti sebagai 'hotspot', mula terjejas.

Trend semasa menunjukkan peningkatan berlakunya bencana yang boleh mengakibatkan banyak kerosakan.