MALAYSIA

Banjir Sabah: Hanya dua PPS di Kota Belud dan Beaufort masih dibuka

Eleanor Michelle Patrick 23/01/2021 | 04:43 MYT
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam beberapa siri lawatannya ke lokasi terjejas telah mengumumkan langkah penyelesaian bagi menangani permasalahan banjir di daerah yang kerap berlaku bencana. - Foto APM
KOTA KINABALU:Hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka membabitkan daerah Kota Belud dan Beaufort, pada hari ini.

Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, keadaan banjir di Sabah juga dilihat semakin pulih dengan hanya seramai 94 orang yang masih ditempatkan di dua pusat pemindahan terbabit.

"Dua PPS tersebut adalah Dewan DSP Dun Banir di Beaufort dan Dewan Kampung Song-Song di Kota Belud.

"Lima PPS juga telah ditutup sepenuhnya setakat tengah hari tadi membabitkan daerah Kota Kinabalu, Papar, Beaufort, Tenom dan Kota Belud," katanya.

Untuk rekod, lebih 10 daerah di Sabah terjejas teruk berikutan banjir sejak 11 Januari lalu.

Antara daerah yang teruk terkesan adalah Beaufort, Kota Belud, Penampang dan Pitas.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam beberapa siri lawatannya ke lokasi terjejas telah mengumumkan langkah penyelesaian bagi menangani permasalahan banjir di daerah yang kerap berlaku bencana, termasuklah cadangan pendalaman sungai serta penebatan banjir.

Dalam lawatan berkenaan, beliau turut mengagihkan bantuan kepada mangsa yang terjejas dalam bencana alam tersebut.
#PPS #Ketua Menteri #Kota Kinabalu #Penampang #mangsa #pusat pemindahan #Malaysia #Kota Belud #Beaufort #banjir sabah