Banjir Sabah: Jumlah mangsa banjir di Membakut meningkat kepada 69

Eleanor Michelle Patrick
September 3, 2021 09:55 MYT
Antara lain, banjir turut dilaporkan berlaku di Sipitang dan 15 orang membabitkan empat keluarga telah dipindahkan ke Mesapol setakat ini. FOTO: APM Sabah
BEAUFORT: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di daerah Membakut terus meningkat kepada 69 orang, berbanding hanya 39 orang yang direkodkan pagi tadi.
Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), jumlah tersebut melibatkan 22 keluarga dari tiga buah kampung.
Setakat ini, kesemua mangsa telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Datuk Mohd Dun Banir, Beaufort.
‘Ia melibatkan 52 mangsa melibatkan 17 keluarga merupakan penduduk Kampung Brunei, diikuti 12 penduduk yang membabitkan empat keluarga dari Kampung Sungai Damit.
‘’Manakala lima lagi mangsa membabitkan sebuah keluarga dari Skim Kampung Brunei,’’ katanya.
Kejadian banjir yang berlaku di 44 buah kampung di Beaufort dan 15 kampung di Membakut yang berlaku sejak Khamis masih berlaku berikutan paras air Sungai Padas dan Sungai Membakut masih pada paras bahaya.
Antara lain, banjir turut dilaporkan berlaku di Sipitang dan 15 orang membabitkan empat keluarga telah dipindahkan di Mesapol setakat ini.
Banjir yang berlaku di daerah terbabit, termasuk beberapa lagi kawasan rendah di Kimanis dan Bongawan disebabkan hujan lebat yang berterusan sejak Rabu.
#banjir di Sabah #banjir di Membakut #jumlah mangsa banjir Sabah #hujan lebat banjir