[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Banjir Sabah: TPM minta penduduk kawasan berisiko peka, segera pindah

Bernama 12/09/2025 | 12:15 MYT
JPBN Sabah memaklumkan sebanyak 396 orang daripada 126 keluarga dipindahkan ke PPS di Beaufort dan Penampang setakat petang ini, berbanding 409 orang daripada 110 keluarga pagi tadi. - Gambar awam
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua penduduk di kawasan berisiko banjir di Sabah supaya sentiasa peka dengan amaran cuaca dan segera berpindah apabila diarahkan pihak berkuasa.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara mengingatkan agar keselamatan keluarga adalah keutamaan bersama.

Beliau berkata pihak berkuasa akan sentiasa mengawasi situasi semasa dan memastikan semua agensi terlibat khususnya di peringkat negeri dan daerah sentiasa memantau, menyelaras dan bertindak segera dalam memberi bantuan secara menyeluruh jika situasi memburuk.

"Saya mengikuti perkembangan terkini mengenai situasi banjir di Sabah, khususnya di Penampang dan Beaufort dengan lebih 400 penduduk terjejas telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Bersama-sama kita berdoa agar keadaan kembali pulih dengan segera dan segala urusan bantuan dipermudahkan. Insya-Allah," katanya menerusi hantaran Facebook.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan sebanyak 396 orang daripada 126 keluarga dipindahkan ke PPS di Beaufort dan Penampang setakat petang ini, berbanding 409 orang daripada 110 keluarga pagi tadi.

-- BERNAMA



#banjir #PPS #Facebook #JPBN