SHAH ALAM : Kerja kerja menyelamat mangsa terkandas di Taman Sri Muda, Shah Alam masih diteruskan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Tidak hanya agensi kerajaan, malah pelbagai badan bukan kerajaan, sukarelawan turut tampil membawa bot persendirian mereka untuk membantu mangsa terkandas.

Tinjauan Astro AWANI mendapati, ratusan sukarelawan berada di sepanjang lebuhraya berhampiran kawasan kejadian yang dijadikan jeti sementara untuk bot berlepas.

Paras air bagaimanapun dilihat tidak surut, namun bergelora menyukarkan pasukan penyelamat untuk melancarkan gerakan menyelamat secara besar besaran.

Bagaimanapun kami sempat bertemu beberapa mangsa yang berjaya diselamatkan.

K Veerasingam ,46, bapa kepada dua anak ini hanya mampu bersyukur selepas pasukan penyelamat berjaya membawa mereka sekeluarga keluar dari kawasan banjir.

"Air makin naik, ada bantuan. Memang kami susah satu malam, tidur atas bumbung, selimut pun memang sejuk keadaan itu tak boleh digambarkan.

"Memang kita ingat mahu hidup sahaja, barang lain takda pun takpa, janji isteri dan anak selamat. Dapat naik bot, lega dan terima kasih kepada Tuhan dan orang yang menyelamat saya," jelasnya ketika ditemui.

Sementara itu, isterinya Sarawathy Balakrishnan, 37, keadaan gelap gelita menyebabkan kedua anaknya trauma selain mengadu sakit badan kerana tidur semalam di atas bumbung.

"Air naik sampai dua tingkat, semalam pagi jam 10 lebih air dah sampai lutut. Air tinggi dua tingkat sudah naik, saya pecah tingkap keluar ke bumbung duduk disitu dari pagi semalam sampai sekarang (malam Ahad).

"Anak anak kaki semua sakit, memang tak boleh buat apa apa. Panggil pasukan penyelamat nasib dapat diselamatkan," jelasnya.


Wanita mengandung berjaya diselamatkan

Sementara itu, satu pasangan turut berjaya diselamatkan.

Fakrul Azri, 22, hanya mampu bersyukur selepas dirinya dan isterinya yang sedang sarat mengandung berjaya dibawa keluar pasukan penyelamat.

"Makanan pun memang dah nak abis, kita tak jangka biasa kalau banjir paras buku lali.

"Kita tak jangka sampai satu tingkat paras air dia, barang-barang memang tak sempat bawah naik. Hanya kita sempat panaskan air masak maggi, sebab semalam ada elektrik, lepas tu terus terputus," jelasnya.

Tambah Fakrul, beliau dan isteri hanya menggunakan telefon bimbit ketika perlu untuk memastikan bateri tidak habis.

"Saya simpan bateri telefon dan hanya membuat panggilan penting sahaja.

"Rasa lega sebab boleh hubungi keluarga apa semua, keluarga saya risau tak boleh nak tidur. Ini pertama kali air banjir tinggi satu tingkat," jelasnya lagi ketika ditemui.

Sepanjang pemerhatian Astro AWANI, lebih 20 buah bot digunakan pasukan penyelamat daripada agensi kerajaan, persendirian dan badan bukan kerajaan.