KUALA PERLIS: Seramai 16 orang penduduk melibatkan empat buah keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di surau Kampung Teluk, di sini malam ini selepas kediaman mereka di naiki air kira-kira 8.30 malam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt. Kol. (PA) Mohd Izaimi Mohd Daud berkata pihaknya menerima laporan berkenaan kira-kira 10 malam.

"Sembilan lelaki, enam perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan ditempatkan di PPS ini," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mohd Izaimi berkata semua mangsa dalam keadaan selamat dan bantuan diberikan oleh petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis.

-- BERNAMA