KUALA LUMPUR: Kebanyakan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka susulan banjir di Pulau Pinang, Pahang, Kedah dan Perak ditutup hari ini berikutan keadaan banjir yang semakin pulih, namun dua PPS masih beroperasi di Perak, setakat 4 petang.
Di PULAU PINANG, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Datuk Kamarul Haizal Koderat berkata satu-satunya PPS di daerah berkenaan, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Penanti, Bukit Mertajam, ditutup petang ini, dengan kesemua 36 mangsa daripada 10 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Beliau berkata keputusan menutup PPS itu dibuat selepas penilaian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mendapati kawasan terjejas selamat untuk diduduki semula.
PPS berkenaan dibuka pada 8.30 malam tadi bagi menempatkan mangsa dari Kampung Kubang Semang selepas kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat.
Di PAHANG, dua PPS di daerah Raub yang menempatkan 26 mangsa daripada 11 keluarga turut ditutup pada 1 tengah hari tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub memaklumkan kesemua mangsa yang ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Baru Cheroh dan Balai Raya Sempam Baru dibenarkan pulang selepas keadaan banjir semakin pulih.
Sementara itu, di KEDAH, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaim memaklumkan PPS Dewan Lembah Keriang di Jitra, ditutup pada 3.30 petang tadi selepas banjir di Mukim Temin surut.
Penutupan itu membolehkan 26 penduduk daripada lapan keluarga yang terjejas pulang ke rumah masing-masing. PPS berkenaan dibuka pada 11 malam semalam bagi menempatkan penduduk terjejas dari Kampung Tradisi dan Kampung Baru.
Di PERAK, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Larut, Matang dan Selama Mohd Nasrul Menhat memaklumakn tiga PPS, iaitu SK Changkat Ibol, Dewan Masjid Al-Wusta Batu 8 dan Dewan Perdana Trong ditutup pada 1.30 tengah hari tadi.
Bagaimanapun, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan dua PPS masih beroperasi setakat 4 petang, iaitu SK Matang Gelugor dan SK Matang.
Menurut kenyataan itu, sebanyak 146 mangsa daripada 48 keluarga masih berlindung di PPS SK Matang Gelugor, manakala 56 mangsa daripada 21 keluarga ditempatkan di PPS SK Matang susulan kejadian ribut yang menjejaskan beberapa kampung di kawasan berkenaan sejak 14 Okt lepas.
Banjir itu menjejaskan Kampung Matang Pasir dan Kampung Matang Gelugor, manakala kejadian ribut turut memberikan kesan kepada penduduk di Kampung Changkat Baru Matang, Kampung Teluk Kertam, Kampung Melawati dan Kampung Hujung Matang. Kawasan lain yang dilaporkan terjejas akibat banjir ialah Kampung Changkat Ibol, Kampung Batu 9 serta kawasan Trong dan Matang.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerusi laman Facebook memaklumkan beliau meninjau keadaan banjir di beberapa kawasan di Pulau Pangkor hari ini, bagaimanapun, tiada PPS dibuka di kawasan terjejas di pulau itu setakat ini.
-- BERNAMA