Banjir: SPM tidak ditangguh, Ops Payung bantu calon - Wong

Ops Payung menyediakan alternatif pengangkutan, penempatan sementara, dan pusat peperiksaan bagi calon terkesan banjir. - Foto BERNAMA
IPOH: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tidak ditangguhkan walaupun terdapat situasi banjir di beberapa negeri ketika ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
Ringkasan AI
- Peperiksaan SPM tidak ditangguhkan walaupun banjir melanda beberapa negeri; Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yakin dengan SOP sedia ada dan Ops Payung bagi memastikan kelancaran peperiksaan.
- Ops Payung menyediakan alternatif pengangkutan, penempatan sementara, dan pusat peperiksaan bagi calon terkesan banjir; jumlah calon SPM terlibat banjir adalah 317 orang dari tujuh negeri.
- Di Perak, 20 calon dari Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan dipindahkan ke pusat alternatif disebabkan tanah runtuh; sebanyak 31,704 calon menduduki peperiksaan SPM di negeri ini.
"Jadi, pihak KPM memang yakin dengan SOP sedia ada, pekeliling yang ada dan Ops Payung yang bakal diaktifkan sekiranya berlaku bencana banjir, maka kita mampu untuk menghadapi situasi ini dan memastikan peperiksaan berjalan dengan lancar," katanya pada sidang media selepas meninjau hari pertama peperiksaan bertulis SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Chulan di sini hari ini
Antara alternatif di bawah Ops Payung merangkumi pengangkutan masuk dan juga keluar dari pusat peperiksaan, pemindahan pusat peperiksaan bagi membolehkan calon menumpang di pusat yang tidak terkesan banjir, penempatan sementara calon yang terkesan banjir di asrama sekolah ataupun di pusat pemindahan sementara (PPS) dan pusat peperiksaan alternatif bagi pusat atau sekolah yang terkesan dengan banjir.
Dalam pada itu, Wong berkata setakat pagi ini jumlah calon SPM yang terlibat banjir ialah 317 orang membabitkan tujuh negeri, iaitu Kelantan (72) Pulau Pinang (6), Kedah (24), Terangganu (2), Perlis (45), Perak (167) dan Selangor (1).
"Setakat ini kita ada empat pusat alternatif yang telah pun dibuka, iaitu satu di daerah Tumpat, Kelantan, dua di daerah Kulim, Bandar Baharu dan saya difahamkan pagi tadi juga oleh saudara Pengarah Negeri, ada satu kes di Perak iaitu Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, Pangkor yang melibatkan jumlah calon terkesan 20 orang.
"Pusat alternatif telah pun dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkor dan ini disebabkan kejadian tanah runtuh dan bukannya banjir," katanya.
Sementara itu Pengarah Pendidikan Negeri Perak Zulkafli Mohamed Mokhtar berkata di Perak sebanyak 31,704 calon menduduki peperiksaan berkenaan.
"Di sekolah di Pangkor terdapat sebuah sekolah terlibat, iaitu Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan melibatkan 20 calon, ia bukan sebab banjir, sebab kawasan sekolah itu disahkan tidak selamat sebab tanah runtuh.
"Jadi kita nak mengelakkan sebarang perkara lebih buruk, jadi kita pindahkan calon ini ke pusat kokurikulum dan mereka akan mengambil peperiksaan di Sekolah Menengah Pangkor, bersebelahan sekolah itu," katanya.
Sebanyak 413,372 calon menduduki SPM pada tahun ini meliputi calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama bantuan kerajaan termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja, sekolah menengah agama negeri, sekolah swasta berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM), sekolah menengah agama rakyat dan calon persendirian.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


