Banjir Sri Muda: "Adik terpaksa berenang ke KESAS untuk dapatkan bantuan" - Mangsa

Hilmi Malik
Disember 23, 2021 11:41 MYT
Menceritakan detik awal insiden berkenaan, Ahmad Rashidi Ahmad Faidzal berkata, adiknya terpaksa berenang ke Lebuhraya KESAS untuk memohon pertolongan. - Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Insiden banjir yang melanda Taman Sri Muda, Shah Alam ternyata merupakan satu peristiwa hitam buat penduduknya yang menyifatkan ia sebagai tragedi terburuk pernah berlaku.
Menceritakan detik awal insiden berkenaan, Ahmad Rashidi Ahmad Faidzal berkata, adiknya terpaksa berenang ke Lebuhraya Shah Alam (KESAS) untuk memohon pertolongan.
"Adik terpaksa berenang kerana pada masa itu masih belum terima bantuan dan hari telah mula gelap.
"Itu sahaja kawasan yang paling tinggi dan selamat.. jadi kami bertemu di KESAS memandangkan saya pun terkandas masuk ke kawasan rumah," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Khamis.
Mengimbas kembali tragedi awal banjir berkenaan, Ahmad Rashidi berkata, apa yang ada di rumah keluarganya ketika itu cuma biskut untuk mengalas perut.
LAPOR LANGSUNG BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI
Mengulas lanjut, insiden banjir yang menimpa keluarganya memberikan tamparan hebat berikutan kemusnahan yang berlaku 100 peratus, termasuk kesemua kenderaannya turut gagal diselamatkan.
Setakat ini, operasi pembersihan di kawasan kejiranannya sedang giat dijalankan susulan bekalan elektrik yang baru diperoleh hari ini.
#banjir #banjir sri muda #bencana banjir #banjir selangor #shah alam #KESAS #Ahmad Rashidi Ahmad Faidzal