SHAH ALAM: Hampir 200 ekor haiwan peliharaan berjaya diselamatkan susulan tragedi banjir di Sri Muda, Shah Alam.

Menurut Exco Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia, Dr Farina Mustaffa Kamal, kesemua haiwan berkenaan mengalami pelbagai kecederaan.

"Ada yang patah kaki, cirit birit, muntah-muntah, luka dalam, termasuk yang mempunyai penyakit dalaman.

"Kita sediakan rawatan asas secara percuma, Alhamdulillah, ada juga pihak awam yang turut hulurkan sumbangan," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Khamis.

Katanya lagi, kebanyakan haiwan yang dihantar itu mempunyai pemilik dan akan dibawa pulang semula sebaik sahaja selesai menjalani rawatan.

Ujar Dr Farina, operasi menyelamat bukan hanya dilakukan oleh pasukan veterinar malah turut dibantu dengan kerjasama orang awam.

"Ada yang sanggup meredah banjir sambil membawa haiwan yang diselamatkan, mereka balut dengan tuala.

Exco Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia, Dr Farina Mustaffa Kamal

Pusat veterinar berkenaan telah beroperasi selama tiga hari bermula Selasa dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari orang awam.

Insiden banjir di Sri Muda mengakibatkan sebahagian besar kawasan kediaman ditenggelami air akibat cuaca hujan yang beterusan selama beberapa hari.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Bencana banjir Selangor: Angka korban mencecah 24 orang - MB

Bagaimanapun, keadaan di kawasan terjejas kini difahamkan telah mula surut dan tumpuan kini diberikan terhadap kerja-kerja pembersihan.