MALAYSIA

Banjir Tanjung Malim makin buruk, hampir 400 mangsa dipindahkan

Sinar Harian 16/09/2025 | 01:00 MYT
Saarani (dua dari kiri) melawat penduduk yang terkesan banjir di beberapa kawasan dalam daerah Muallim. - Foto Facebook/Saarani Mohamad
TANJUNG MALIM: Keadaan banjir di beberapa kawasan dalam daerah Muallim dilaporkan semakin memburuk apabila jumlah penduduk dipindahkan terus meningkat kepada 397 orang daripada 91 keluarga setakat jam 8 pagi pada Selasa.


Ringkasan AI
  • Seramai 397 penduduk daripada 91 keluarga telah dipindahkan ke empat PPS selepas hujan lebat berterusan menyebabkan Sungai Slim melepasi paras bahaya.
  • Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melawat mangsa banjir dan memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus membantu meringankan beban mereka.
  • Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah menasihatkan penduduk, khususnya di kawasan rendah, agar berwaspada berikutan amaran hujan lebat hingga malam.


Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Muallim, air Sungai Slim di Slim River melepasi paras bahaya dengan bacaan 26.02 meter berbanding 25.4 meter.

Bacaan normal sungai berkenaan adalah 23.5 meter.

Peningkatan paras air berlaku berikutan hujan lebat berterusan sejak Ahad yang menyebabkan arus deras dan beberapa kawasan kediaman penduduk mula dinaiki air.

Empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bermula jam 10.30 pagi pada Isnin.

PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sekiah Batu 7 menempatkan seramai 158 mangsa daripada 40 keluarga.

Sementara itu, 124 penduduk daripada 22 keluarga dari Kampung Pasir pula dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir yang mula beroperasi pada jam 11.30 pagi.

Di Kampung Orang Asli Sungai Lembing, Behrang Stesen, seramai 55 penduduk daripada 13 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai selepas ia dibuka pada jam 1.30 petang

Kampung Pauh turut dilanda banjir, mengakibatkan 60 penduduk daripada 16 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pauh yang dibuka pada jam 6 petang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam kenyataan di Facebook menzahirkan keprihatinan terhadap nasib penduduk yang terjejas akibat bencana itu.

Beliau yang turun meninjau keadaan mangsa dan lokasi terjejas banjir turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan berusaha sedaya upaya untuk meringankan beban mangsa.

"Saya merakamkan penghargaan kepada para sukarelawan serta seluruh agensi dan jabatan yang bertungkus lumus menjalankan kerja menyelamat dan membantu mangsa banjir ini," katanya.

Beliau dalam masa sama berharap agar semua mangsa yang terkesan tabah mengharungi dugaan.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah menasihatkan orang ramai terutama penduduk di kawasan rendah supaya berwaspada berikutan amaran hujan lebat berterusan hingga malam ini. - Sinar Harian






#banjir #Sungai Slim #paras bahaya #PPS