Banjir Terengganu: 260 mangsa dipindahkan ke 7 PPS

Nur Fazlizai Ali
Disember 17, 2020 23:42 MYT
Daerah Kemaman merekodkan mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 203 orang. - Astro AWANI
KEMAMAN: Terengganu sekali lagi dilanda banjir, menyaksikan empat daerah di negeri ini terjejas, menerusi gelombang banjir keempat yang melanda bermula Khamis.
Hujan yang melanda sejak Rabu itu menyebabkan 260 mangsa membabitkan 76 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata, setakat jam 7 pagi ini, tujuh PPS telah diaktifkan bermula kira-kira jam 3.30 petang semalam.
Menerusi jumlah itu, daerah Kemaman merekodkan mangsa tertinggi iaitu seramai 203 orang.
Katanya, 56 keluarga ditempatkan di lima PPS termasuk Masjid Sungai Mas, Dewan Orang Ramai Kampung Teladas dan Balai Raya Kampung Padang Kubu.
Sementara itu, di Dungun, seramai 23 mangsa daripada empat keluarga dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Minda.
Di Besut, enam keluarga membabitkan 18 mangsa ditempatkan di Dewan Futsal Keruak.
Manakala di Setiu, 16 mangsa daripada 10 keluarga dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Kampung Besut.
Terdahulu, Terengganu telah melalui tiga gelombang banjir yang bermula 18 Nov lalu.
Gelombang ketiga yang melanda negeri ini bermula 2 Disember lepas menyaksikan lebih 2,000 mangsa di lapan daerah terjejas.
#banjir #Kemaman #Che Adam A Rahman #PPS #pindah #pusat pemindahan #Besut #Dungun #terengganu #Setiu