Banjir Terengganu: Kekurangan aset boleh jejas operasi pemindahan di Besut

Bernama
Disember 20, 2022 14:00 MYT
Seramai 172 anggota melibatkan polis, bomba, APM, ATM, Rela serta badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam pengoperasian banjir di Besut. - Gambar fail/ Bernama
BESUT: Kekurangan aset boleh mengganggu kelancaran operasi menyelamat penduduk yang terjejas sekiranya gelombang kedua banjir berlaku di sini, kata Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad.
Beliau berkata ketika ini operasi pemindahan mangsa banjir bergantung kepada lori 10 tan milik Majlis Daerah Besut dan sekiranya hujan berterusan, bencana itu berkemungkinan menjadi lebih kritikal dan lebih ramai perlu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
"Dari segi logistik, kemudahan lori dan bot yang ada tidak mampu untuk menyokong kerja-kerja memindahkan mangsa banjir terutamanya apabila perlu mengharungi arus yang deras. Aset yang kita ada ketika ini kesemuanya bersaiz kecil," katanya.
Ikuti semua perkembangan mengenai banjir DI SINI!
Beliau berkata demikian semasa taklimat pengoperasian pasukan keselamatan kepada Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Ahmad Izram Osman di Balai Bomba dan Penyelamat Jerteh di sini, hari ini.
Ahmad Izram dan pasukannya kini melaksanakan tinjauan udara situasi semasa banjir di Terengganu dan Kelantan.
Sementara itu, Abdul Rozak berkata setakat 12 tengah hari tadi, jumlah mangsa yang dipindahkan ke 96 PPS di daerah itu terus meningkat kepada 9,378 orang berbanding 5,492 semalam dan sekiranya angka itu terus meningkat, dikhuatiri PPS sedia ada tidak mampu menampung penduduk terjejas.
Beliau berkata ketika ini seramai 172 anggota melibatkan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia serta badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam pengoperasian banjir di Besut.
"Pasukan keselamatan akan terus mengingatkan penduduk untuk mengambil langkah-langkah keselamatan yang perlu sebagai persediaan sekiranya keadaan semasa banjir bertambah buruk.
"Dengan kekangan anggota dan aset yang dimiliki, kami dari pihak keselamatan berharap penduduk dapat terus berpindah sekiranya diarahkan tanpa perlu menunggu sehingga saat genting," katanya.
-- BERNAMA
#banjir terengganu #Besut #kekurangan aset #pemindahan penduduk