KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) memberi kelonggaran kepada pelajar yang terjejas banjir di negeri ini dengan berpakaian biasa untuk datang ke sekolah.

Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah) JPNT, Azman Othman @ Abdullah turut menasihatkan kepada pelajar yang terlibat banjir supaya tetap hadir ketika sesi persekolahan bermula kembali pada Selasa depan.

"Kepada mana-mana murid yang terlibat banjir, saya pesan agar mereka hadir ke sekolah dan mereka boleh pakai pakaian biasa sekiranya pakaian mereka musnah semasa banjir," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Azman menyatakan setakat ini terdapat empat sekolah yang masih dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.

Menurutnya, empat sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Delong, SK Durian Mentangau, SK Tanjung Pati dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Pulut.

"Selain itu, di Marang pula melibatkan SMK Merchang yang dijadikan PPS.

"Pihak jabatan bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sekolah dan komuniti setempat sedang berusaha untuk bersihkan sekolah terkesan banjir bagi memastikan sekolah tersebut dapat beroperasi pada 2 Januari 2024 nanti," jelasnya.

Banjir gelombang ketiga mula melanda Terengganu pada 23 Disember lalu dengan Dungun menjadi daerah pertama yang terjejas sebelum banjir merebak kesemua lapan daerah yang lain.

Jumlah mangsa banjir di Terengganu berkurang kepada 733 mangsa daripada 198 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah di negeri ini setakat jam 10 pagi ini.

Kesemua mangsa telah dipindahkan ke 13 PPS yang masih dibuka di tiga daerah di Terengganu iaitu Dungun, Marang dan Kuala Nerus. -Sinar Harian