KUALA LUMPUR: Banjir di Terengganu dilaporkan pulih sepenuhnya pada awal petang Sabtu, selepas tiga pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir ditutup secara rasmi jam 1.00 petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, kesemua 477 mangsa daripada 160 buah keluarga yang ditempatkan di tiga PPS terbabit juga dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan agar peka dan berhati-hati dengan sebarang perubahan cuaca.

Di Kelantan pula, jumlah mangsa banjir semakin berkurangan berbanding semalam apabila beberapa kawasan juga pulih secara berperingkat.

Sehingga kini seramai 1,341 mangsa daripada 452 buah keluarga masih ditempatkan di sembilan PPS di daerah Pasir Mas dan Tumpat.