KUALA LUMPUR: Keputusan untuk tidak menangguhkan sesi persekolahan di negeri-negeri yang terkesan dengan bencana banjir dilihat satu langkah proaktif.

Pakar Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad berkata, selain pandemik, bencana seperti banjir juga adalah situasi yang tidak lagi boleh diramal, memerlukan pihak bertanggungjawab bertindak dengan lebih efisien bagi memastikan tiada lagi keciciran dalam pendidikan.

"Tidak menangguhkan sesi persekolahan ialah keputusan yang baik dan proaktif, apatah lagi ia dilakukan dengan cepat. Ini membolehkan ibu bapa membuat persiapan.

"Kita sekarang berhadapan situasi luar jangka, bukan saja masa pandemik tapi bencana alam seperti banjir dan mungkin di masa hadapan, ada situasi lain juga.

"Sesi persekolahan boleh berlaku di rumah juga tetapi ini memerlukan persiapan, kena ambil kira kemudahan yang bersesuaian.

"Tak semestinya kena datang sekolah, apa yang penting kita tak mahu pembelajaran terhenti dan berlaku keciciran kerana pembelajaran masih boleh diteruskan di rumah," katanya ketika muncul dalam program 100 Hari Kerajaan Perpaduan, pada Isnin.

Beliau turut menggesa kemudahan infrastruktur digital dipertingkatkan bagi tujuan tersebut.

"Saya fikir perkara pokok di sini ialah meningkatkan infrastruktur. Ini bukan lagi isu sekolah daif tetapi pendigitalan.

"Keadaan mendesak bukan sahaja pandemik atau bencana, malah kalau dilihat ada anak-anak kita yang berada di hospital, berhadapan dengan masalah kesihatan, boleh terus belajar.

"Masih banyak ruang untuk kita terokai dalam memanfaatkan digital dan pembelajaran atas talian," ujarnya lagi.

100 Hari Kerajaan Perpaduan: Kesan banjir kepada pelajar dan persiapan sekolah