KUALA TERENGGANU: Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat penutupan bekalan elektrik di 18 kawasan membabitkan tiga daerah di Terengganu setakat 10 pagi tadi berikutan keadaan hujan dan banjir.

Melalui hantaran di laman Facebooknya, TNB memaklumkan setakat ini di Bandar Al-Muktafi Billah Shah di daerah Dungun menyaksikan 14 kawasan terjejas dengan penutupan bekalan elektrik iaitu di Pam Air Merlong, Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Jengal, Kampung Surau, Kuala Jengal, Kampung Pelamboh dan Logi Air Tepus.

Turut terjejas Kampung Tepus, Pencawang Luar Bandar (PLB) Minda 1, Kampung Cerawih, Kampung Cemuak, Pencawang Atas Tiang (HP) Minda 2, Kampung Rantau Panjang, Kampung Talong dan Sekolah Kebangsaan Minda Talong.

Sementara itu, di daerah Marang pula kawasan terlibat adalah Coara Marang Solar dan Kem Panji Alam, manakala di Hulu Terengganu pula kawasan yang ditutup bekalan elektrik ialah Sekolah Kebangsaan Agama Mahmudiah dan Sekolah Kebangsaan Kua.

TNB melalui kenyataan itu turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko banjir serta menjauhi pepasangan elektrik yang terendam air kerana dikhuatiri berlakunya kebocoran arus.

-- BERNAMA