MALAYSIA

Banjir: Ujian berganda mangsa kebakaran gas Putra Heights

Umavathi Ramayah 11/04/2025 | 08:00 MYT
Penduduk berkata, kejadian banjir kali ini terlalu hampir dengan insiden kebakaran sebelum ini, sekali gus menambah tekanan emosi dan beban kewangan mereka.
SUBANG JAYA: Belum pun reda daripada insiden kebakaran paip gas yang menggemparkan penduduk minggu lalu, sebahagian kawasan Putra Heights di sini, sekali lagi diuji apabila dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat sejak awal pagi Jumaat.
Kejadian tersebut mengakibatkan beberapa kawasan perumahan di Kampung Kuala Sungai Baru, dinaiki air sehingga ke paras lutut, memaksa sebahagian penduduk berpindah sementara ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut penduduk terjejas, Farahin Atiqah Janif, 30, banjir kilat bukanlah sesuatu yang asing bagi mereka.
Namun, kali ini ujian itu datang terlalu hampir dengan insiden kebakaran sebelum ini, sehingga menambah tekanan emosi dan beban kewangan yang sedia ada.
"Macam satu-satu timpa tangga… saya tak tahu nak cakap. Satu rumah pun sudah rosak, nak cari rumah baharu pun bukan murah. Saya kena tunggu kalau ada rumah, tapi tuan rumah pun tak buat apa-apa perubahan. Saya rasa sedih sangat dalam keadaan macam ini,” katanya dengan nada sebak.
Farahin yang bekerja sebagai pengawal keselamatan turut kehilangan pekerjaan selepas terpaksa mengambil cuti panjang akibat insiden kebakaran minggu lalu.
"Lepas kejadian, saya cuti tanpa gaji. Sekarang dah terlalu lama saya tak kerja, saya terus dihentikan. Tak tahu nak buat macam mana. Satu persatu dugaan… saya hanya mampu reda,” katanya lagi.
Sementara itu, Nur Hidayah Muh Noor, 37, turut berdepan nasib sama apabila rumahnya ditenggelami air, menyebabkan pelbagai barangan elektrik dan perabot musnah.
“Ketika itu saya di Jalan Kebun (Klang), kawan telefon beritahu rumah saya naik air. Bila saya balik, tengok keadaan rumah memang sedih.
"Barang-barang semua tak dapat diselamatkan. Penapis air hanyut, tilam, dapur semua hilang dibawa air," luah Nur Hidayah yang masih terkejut dengan kejadian itu.
#kebakaran paip gas #Putra Heights #banjir #Penduduk