NATIONAL
Banjir: Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM diteruskan, SOP Ops Payung diperkemas - Fadhlina

Fadhlina pada sidang media khas KPM mengenai status perkembangan calon SPM di negeri terjejas banjir pada Ahad. -Astro AWANI
PUTRAJAYA: Ujian Bertutur Bahasa Melayu Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang dijadualkan bermula 2 Disember tetap akan diteruskan walaupun dalam situasi banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.
Ringkasan AI
- Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM akan bermula pada 2 Disember seperti dijadualkan, walaupun terdapat banjir di beberapa negeri.
- KPM telah bersiap siaga dengan SOP Ops Payung dan bekerjasama dengan agensi seperti NADMA, ATM, dan APM untuk memastikan kelancaran peperiksaan.
- Pelajar yang terjejas banjir di Kelantan, Terengganu, dan Kedah telah ditempatkan di asrama atau pusat peperiksaan alternatif untuk memastikan keselesaan mereka.
“KPM sedia melaksanakan peperiksaan dalam situasi banjir berdasarkan kepada SOP Ops Payung yang akan terus dikemas kini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas KPM mengenai status perkembangan calon SPM di negeri terjejas banjir pada Ahad.
Beliau turut memaklumkan bahawa KPM mempunyai Pelan Tindakan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
“Pekeliling menghadapi MTL kepada warga KPM telah dikeluarkan pada 22 Oktober 2024. Program Kesiapsiagaan Menghadapi MTL dilancarkan pada 28 Oktober 2024.
“KPM juga bekerjasama dengan agensi seperti NADMA, ATM dan APM untuk memastikan peperiksaan SPM berjalan lancar,” katanya.
Mengulas lanjut, keputusan untuk meneruskan Ujian Bertutur SPM juga diambil dengan mengambil kira nasihat daripada NADMA.
Menurut beliau lagi, jumlah calon terjejas banjir di Kelantan setakat ini adalah 3,111 pelajar, Terengganu 1,734, manakala di Kedah 532 pelajar.
Menurutnya calon terjejas banjir telah ditempatkan ke asrama atau pusat peperiksaan alternatif bagi memastikan calon mendapat keselesaan menduduki peperiksaan mengikut jadual yang ditetapkan.
Keperluan tambahan asrama untuk penyediaan makanan akan disalurkan segera oleh KPM.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami