BESUT: Seorang warga emas tidak menduga episod duka 22 tahun lalu kembali berulang selepas rumah yang dihuninya lebih 40 tahun lalu di Kampung La, Besut sekali lagi dibadai banjir.

Ujian yang dilalui Hasimah Ali Seman, 70, pada 18 Disember lalu amat meruntun hati tuanya apabila tempat berteduh dari hujan dan panas itu rosak teruk sehingga strukturnya beralih dari lokasi asal.

Hasimah yang bekerja sebagai penoreh getah itu berkata, sebelum ini rumah didiaminya bersama empat anak dan dua cucunya dihanyutkan banjir pada 2000, namun tidak seteruk kali ini.

Jelasnya lagi, luluh hatinya selepas mendapat berita duka itu ketika berteduh di pusat pemindahan sementara (PPS) namun dia tetap cekal untuk melihat keadaan rumahnya itu.

"Ada orang beritahu mak cik jangan terkejut apabila tengok keadaan rumah kerana kawasannya telah terang.

"Esok pagi kami pergi dan terlihat rumah telah dihanyut dan terbalik," katanya.
 
Sementara itu  seorang lagi mangsa, Norul Shahida Mohamad runsing memikirkan nasib mereka apabila rumah sewa didiami bersama suami dan tiga anak berusia antara empat hingga 12 tahun sejak 2017 rosak akibat banjir.

Lebih memilukan apabila keluarga berkenaan bukan hanya hilang tempat berteduh dan barangan dalam rumah, namun turut hilang punca pendapatan

Perasaann sedih juga sukar dibendung wanita berusia 38 tahun itu memikirkan bagaimana untuk bangkit kembali mencari sumber rezeki selepas  peralatan perniagaan kuih yang dijual secara dalam talian turut hanyut dibawa bah.

"Memang kawasan ini selalu dilanda banjir namun kali ini paling teruk.

"Saya berniaga sendiri dan apabila rumah dilanda banjir kali ini, semua barang tidak boleh diselamatkan lagi. Saya terpaksa mula semula," katanya.

Banjir yang melanda Terengganu bermula 18 Disember lepas disifatkan sebagai banjir terburuk apabila lebih 40,000 penduduk dilapan-lapan daerah di negeri itu terjejas dan terpaksa dipindahkan ke PPS.

Meskipun hampir dua minggu berlalu namun masih  terdapat mangsa di Kampung La, Besut terpaksa berlindung di PPS selepas kediaman mereka rosak teruk, malah ada yang dihanyutkan banjir.

Setakat ini seramai 22 mangsa membabitkan lima keluarga masih berada di PPS Masjid Kampung La, Besut.