MALAYSIA
Bank diseru perkasa komuniti menerusi pendigitalan - Gobind
Bank kini perlu memperluas peranannya bukan sekadar sebagai pemudah cara kewangan, malah membantu memperkasa komuniti dengan menjadi pendukung transformasi digital, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo. - Foto Facebook Gobind Singh Deo
KUALA LUMPUR: Bank kini perlu memperluas peranannya bukan sekadar sebagai pemudah cara kewangan, malah membantu memperkasa komuniti dengan menjadi pendukung transformasi digital, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Ringkasan AI
- Menteri Digital Gobind Singh Deo menegaskan bank perlu bantu memperkasa komuniti dengan mendukung transformasi digital agar tiada rakyat tercicir dalam ekonomi digital.
- CIMB komited melabur RM200 juta bagi program KBJK untuk memperkasa ekonomi, kesejahteraan komuniti dan celik kewangan golongan belia serta mereka yang kurang berkemampuan.
- Kerajaan terus menggiatkan usaha pendigitalan dengan inisiatif seperti BDI dan program -AI untuk Rakyat-, selain menarik pelaburan digital lebih RM310 bilion sejak 2021.
Beliau menegaskan bahawa pendigitalan merupakan kunci utama dalam usaha membina negara.
"Ketika pendigitalan terus memacu pertumbuhan dalam semua aspek ekonomi, terutamanya sektor perbankan dan kewangan, penting sebenarnya bagi kerajaan dan institusi kewangan untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang tercicir dalam ekonomi digital," katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena pelancaran program 'Kita Bagi Jadi Komuniti' (KBJK) anjuran CIMB di sini hari ini.
Gobind berkata pemberdayaan digital mampu meningkatkan taraf hidup komuniti dengan menyediakan akses kepada maklumat, menggalakkan kerjasama dan menyokong pembangunan yang dipacu komuniti.
"Dengan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan digital, komuniti boleh memanfaatkan teknologi untuk menangani cabaran tempatan, menyesuaikan diri dengan perubahan dan meningkatkan kesejahteraan secara keseluruhan," katanya.
CIMB Group Holdings Bhd hari ini mengumumkan komitmen sebanyak RM200 juta dalam tempoh lima tahun dari 2026 hingga 2030 di bawah platform KBJK bagi memajukan pelanggan dan masyarakat.
Komitmen itu memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu pemerkasaan ekonomi jangka panjang, kesejahteraan komuniti dan keterangkuman kewangan, termasuk melengkapkan golongan belia, golongan yang tidak mempunyai akses kepada perbankan serta mereka yang kurang mendapat perkhidmatan dengan kemahiran asas seperti celik digital dan kewangan.
Dalam pada itu, Gobind mengucapkan tahniah kepada CIMB atas inisiatif berkenaan dan menyatakan harapan agar lebih banyak pemain industri mengambil langkah yang sama dengan bekerjasama secara kolektif untuk memastikan semua rakyat Malaysia terlibat dalam transformasi digital negara.
"Saya gembira apabila CIMB dan anak syarikatnya, Touch 'n Go Digital bukan sahaja menawarkan kemudahan perbankan, tetapi turut menyediakan pendidikan dan kesedaran tentang celik digital bagi membantu komuniti mendepani landskap kewangan masa kini dengan lebih yakin dan mudah," katanya.
Pada April lepas, Kementerian Digital melancarkan Inisiatif Pendigitalan Perniagaan (BDI) bagi membekalkan perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan kemahiran dan peralatan yang diperlukan untuk transformasi digital.
BDI disokong oleh dana campuran berjumlah RM1.5 bilion dan merangkumi penyelesaian digital freemium bagi mengurangkan kos menjalankan perniagaan serta akses kepada ekosistem bersepadu yang merangkumi kerjasama sektor awam dan swasta.
Kerajaan juga melaksanakan program "AI untuk Rakyat" bagi memperkenalkan teknologi kecerdasan buatan (AI) kepada rakyat Malaysia. Setakat ini, lebih 1.3 juta rakyat Malaysia telah menyelesaikan program berkenaan dan jumlah itu terus meningkat.
Malaysia menarik pelaburan digital berjumlah RM310.7 bilion dari 2021 hingga Mac 2025, kemajuan yang menunjukkan bahawa Malaysia merupakan hab infrastruktur digital yang sedang berkembang pesat di rantau ini, kata Gobind.
-- BERNAMA