Bank Muamalat terus tawar bantuan pembayaran bersasar

Bernama
Oktober 23, 2020 11:01 MYT
Bank Muamalat akan terus sediakan keanjalan dan melanjutkan bantuan sementara kepada pelanggan yang berdepan kesukaran untuk membuat pembayaran pembiayaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd memberi jaminan bahawa bantuan pembayaran bersasar akan terus disediakan kepada pelanggannya yang berdepan kesukaran kewangan disebabkan pandemik COVID-19 yang masih berterusan di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin berkata, bank itu akan terus menyediakan keanjalan dan melanjutkan bantuan sementara kepada pelanggan yang berdepan kesukaran untuk membuat pembayaran pembiayaan ekoran sekatan pergerakan dan keadaan tidak menentu sekarang.
"Pada 21 Oktober, 2020, 83 peratus permohonan bagi bantuan pembayaran daripada pelanggan individu dan 100 peratus bagi bantuan pembayaran bagi pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah diluluskan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairul berkata, pelanggan yang sebelum ini menolak bantuan pembayaran bersasar tetapi kini mengalami kehilangan dan pengurangan pendapatan digalakkan untuk memohon bantuan pembayaran bersasar yang termasuk penstrukturan semula dan penjadualan semula pembayaran.
Bank Muamalat menggalakkan pelanggan yang berhasrat memohon bantuan pembayaran bersasar untuk mengisi borang permohonan Bantuan Pembayaran Pasca Moratorium yang boleh didapatkan di laman webnya di www.muamalat.com.my serta menghantar emel ke endmora.assistance@muamalat.com.my disertakan dengan dokumen yang relevan.
Bagi bantuan selanjutnya, para pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan bank itu di talian 03-2600-5500. - BERNAMA
BACA: CIMB lulus hampir 100 peratus permohonan bantuan bayaran semula
#Bank Muamalat #pembayaran semula #bantuan pembayaran bersasar #pandemik COVID19 #perusahaan kecil dan sederhana #PKS #kewangan