Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menyangkal kebimbangan yang semakin meningkat mengenai dakwaan Malaysia mengalami deflasi berikutan penurunan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi tempoh dua bulan lepas yang berturut-turut.

IHP, pengukur inflasi utama, susut 0.4 peratus pada Februari berbanding tempoh yang sama tahun lepas, susulan penurunan tahun ke tahun 0.7 peratus pada Januari.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata sekiranya merujuk kepada senarai kumpulan utama bagi IHP, lebih separuh masih mencatatkan peningkatan harga.

"Ia tidak menggambarkan penurunan inflasi secara meluas. Apabila bercakap mengenai deflasi, ia merujuk penyusutan harga secara meluas yang menyaksikan keadaan permintaan tidak wujud dan syarikat perlu menurunkan harga untuk menarik permintaan," katanya semasa sidang media sempena Laporan Tahunan BNM 2018 dan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2018 dikeluarkan pada Khamis.

Nor Shamsiah berkata penurunan IHP yang dialami negara adalah disebabkan semata-mata oleh harga bahan api domestik yang lebih rendah.

BNM menjangkakan inflasi teras pada 2019 akan mencatatkan purata antara 0.7 peratus dan 1.7 peratus manakala inflasi asas mungkin kekal dalam keadaan aktiviti ekonomi meningkat kukuh serta ketiadaan tekanan permintaan.

Nor Shamsiah berkata inflasi teras akan bergantung kepada dasar yang mungkin diperkenalkan kerajaan bagi tempoh musim perayaan akan datang, yang lazimnya disertakan dengan harga siling ke atas barangan keperluan tertentu, di samping trajektori harga minyak mentah global.

-- BERNAMA