GEORGE TOWN: Penganjur Konsert Viral Lagu Tik Tok bersetuju untuk berpindah lokasi dari Dewan Millenium Kepala Batas ke Stadium Batu Kawan susulan bantahan mengenai penganjuran konsert berkenaan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihak penganjur juga diminta berurusan dengan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk tindakan selanjutnya.

Konsert berkenaan dijangka diadakan pada 30 September depan namun mendapat bantahan pelbagai pihak.

"Saya difahamkan pihak penganjur pun telah bersetuju untuk pindah lokasi dan sekarang ini mereka boleh uruskan perkara tersebut dengan MBSP sebagai pihak yang mengeluarkan permit. Berkenaan tarikh saya tidak ada  maklumat...ya konsert akan berpindah ke stadium Batu Kawan," kata Kon Yeow hari ini. 

Beliau sebelum itu hadir merasmikan majlis STEM Showcase ’23, sempena Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sekolah Menengah Han Chiang, Jelutong.


Semalam, Timbalan Ketua Menteri I , Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid meminta MBSP membatalkan kelulusan Konsert Viral Lagu Tik Tok yang dijadualkan berlangsung di Dewan Millenium Kepala Batas pada 30 September depan.

Mohamad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Agama Islam berkata, konsert berkenaan telah mendapat bantahan penduduk setempat yang dianggap tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam, lebih-lebih lagi ia akan diadakan dua hari selepas umat Islam meraikan sambutan Maulidur Rasul.

Ahli Parlimen Kepala Batas Dr Siti Mastura Mohamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut menghantar surat bantahan  untuk pertimbangan membatalkan konsert terbabit yang didapati tidak bersesuaian diadakan di kawasan berkenaan.

Isnin lalu, tular poster memaparkan beberapa artis tempatan dan Indonesia yang akan mengadakan Konsert Viral Lagu-Lagu Tik Tok Malaysia-Indonesia di Kepala Batas yang ia mendapat tentangan warganet dan penduduk tempatan yang majoritinya beragama Islam.

Difahamkan Datuk Bandar MBSP akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu dalam masa terdekat.