Bantahan lambang solidariti umat Islam terhadap tindakan hina Nabi Muhammad - Ahmad Marzuk

Muhafandi Muhamad
Jun 10, 2022 07:04 MYT
Ahmad Marzuk Shaary mengajak seluruh dunia Islam bersolidariti membantah penghinaan terhadap Nabi Muhammad. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Bantahan dan solidariti yang ditunjukkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang menyatakan bantahan terhadap tindakan menghina Nabi Muhammad oleh dua anggota tertinggi parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata sememangnya dialu-alukan.
Bahkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary mengajak seluruh dunia Islam bersolidariti membantah penghinaan itu.
"Kita menyeru seluruh umat Islam di seluruh dunia bukan sahaja di Malaysia bangkit membantah penghinaan kepada Nabi dan kita bangkit dan bersolidariti supaya tunjuk kekuatan orang Islam tak kira siapa.
“Bila tengok orang Islam bersatu dia rasa gerun dan ini adalah satu perkara yang perlu ambil ikhtibar dan pengajaran, bahawa orang Islam perlu bangkit bersatu.
“Saya difahamkan hari ni ada NGO buat perarakan hantar bantahan ke Kedutaan India, kita sokong. Kalau ada di Kuala Lumpur saya sokong,” katanya.
BACA: Malaysia gusar tindakan hina Nabi Muhammad, mahu India tegas hentikan perbuatan itu - Saifuddin
BACA: Tak perlu balas, pegang prinsip Islam yang larang hina agama lain - Idris
Ahmad Marzuk berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan pelbagai pihak terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Idris Ahmad yang didakwa kurang tegas dan tidak menunjukkan bantahan sewajarnya atas isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad itu.
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, badan bukan kerajaan yang berhimpun dan menghantar bantahan sebahagiannya turut dinaungi oleh Pas.
Sebelum ini Idris dikritik kerana tidak menunjukkan ketegasan sedangkan Pas antara parti yang lantang menentang sebarang bentuk penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad.
Untuk rekod, Pas pernah menganjurkan perhimpunan aman berkaitan isu membabitkan sensitiviti dan penghinaan terhadap agama.
Idris ketika ditanya berhubung penghinaan Nabi Muhammad dilaporkan menasihati supaya umat Islam tidak bertindak balas dengan menghina agama lain susulan penghinaan oleh dua pegawai pemerintah Parti Bharatiya Janata itu.
#hina Nabi Muhammad #Ahmad Marzuk Shaary #BJP India #Idris Ahmad