KUALA LUMPUR: Penggunaan pelitup muka khusus untuk petugas barisan hadapan wanita berhijab dilihat antara usaha untuk mencegah penularan pandemik COVID-19 dengan mudah.

Pengasas Himaya Premium Hijab Medical Mask, Datuk KK Chua berkata, pelitup muka premium perubatan itu diperbuat dengan tiga lapis fabrik yang memudahkan pernafasan dan selesa digunakan terutama untuk wanita berhijab.

"Dalam menghadapi keadaan jangkitan dan pesakit COVID-19 yang semakin meningkat, golongan petugas barisan hadapan memerlukan perlindungan yang paling maksimum," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pelitup muka Himaya itu, jelas beliau, mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu perakuan Medical Device Authority (MDA) sebagai pelitup muka perubatan sesuai digunakan untuk petugas barisan hadapan tanpa was-was.

Terdahulu, syarikat pengeluar Himaya Premium Hijab Medical Mask, Anggun Kirana Sdn Bhd telah menyumbangkan 10,000 keping pelitup muka kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Sementara itu, KK Chua berkata, program itu diadakan sebagai menyatakan sokongan terhadap pengorbanan petugas barisan hadapan yang saban waktu bertungkus lumus dan menggadai nyawa dalam merawat pesakit COVID-19.

Menurutnya, beberapa buah hospital lain juga bakal menerima sumbangan yang juga sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya.

Sementara itu, pegawai perubatan PPUM, Dr Ileena Abdul Muin berkata, pihak hospital berterima kasih di atas keprihatinan dan sumbangan berkenaan.

"Petugas di pusat perubatan sememangnya memerlukan pelitup muka yang banyak dalam tugasan harian apatah lagi ketika kes jangkitan COCID-19 masih pada angka membimbangkan.

"Sumbangan pelitup muka ini sedikit sebanyak dapat membantu kami dalam tugasan harian berikutan kami perlu memakai pelitup muka perubatan setiap masa," katanya.

Seorang lagi pegawai perubatan PPUM, Dr Amir Arif Ahmanul berkata, usaha syarikat berkenaan membantu kelangsungan kerja-kerja klinikal petugas berkenaan.

Seramai 6,725 petugas barisan hadapan KKM dijangkiti COVID-19 sejak penularan wabak itu dalam negara sehingga Mei lalu ketika bertugas.

Ia sekali gus risiko dihadapi barisan hadapan negara, malah lebih membimbangkan apabila pandemik itu kini berevolusi varian baharu yang mudah merebak melalui bawaan udara.