Bantu rakyat sejak 28 tahun lalu, Jawahar Ali tidak pernah lokek ringankan beban masyarakat

Fareez Azman
April 28, 2023 04:00 MYT
Menurut Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan, bukan hanya golongan B40, malah M40 turut menerima sumbangan kerana terkesan akibat pandemik COVID-19. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Setiap kali isu melibatkan 'perut rakyat' dibicarakan, banyaj pihak tampil membantu dan menggesa pelbagai inisiatif dijalankan oleh kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat.
Dalam kalangan golongan itu, pemilik restoran rangkaian Ali Maju, Datuk Jawahar Ali Taib Khan antara personaliti yang sentiasa berada di hadapan membela rakyat.
Baru-baru ini, Astro AWANI mendekati Jawahar Ali untuk mendalami kehidupan beliau.
Memulakan perniagaan sejak usianya 200-an di ibu negara, ternyata liku-liku kehidupan dan perniagaan membawa Jawahar mengenali erti dan menginsafi makna kesusahan.
"Asal-usul kita kena ambil kira, saya memang asal dari Kampung Sabak Bernam, boleh dikategorikan tidak susah tapi bukan golongan kayangan.
"Kita sudah lalui semua zaman, zaman berjuang untuk maju. Alhamdulilah, bila Allah SWT permudahkan urusan kita, semua kita impikan selama ini Allah dah berikan beratus kali ganda apa yang kita nak," katanya.
Sejak 28 tahun lalu, beliau tidak pernah berhenti membantu sesiapa sahaja yang memerlukan, lebih lagi ketika menyambut Syawal.
Daripada 10 bungkus barangan keperluan, kini lebih 2,000 bungkus disumbangkan kepada golongan memerlukan di sekitar ibu negara.
Menurut Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) itu, bukan hanya golongan B40, malah M40 juga turut menerima sumbangan ekoran terkesan pandemik COVID-19.
"Untuk beras langkah pertama kali (bantuan), bantuan hari raya dah masuk tahun ke-28. Kadang kala saya terfikir apa keperluan orang di luar sana, kita jangan kata B40, M40, asnaf, semua terkesan bila mana kita tengok berpusu-pusu datang dari pagi hingga malam.
"Kita tiada kempen, lebih guna media sosial. Sesiapa yang datang pagi kita pesan tolong kongsi berita dengan rakan-rakan memerlukan beras untuk sambut Syawal termasuk bukan Islam. Bila ada keperluan, kita cuba meringankan beban mereka," katanya lagi.
Tambah ayah kepada lima anak yang juga Tokoh Utama Maulidur Rasul 1440 H Peringkat Wilayah Persekutuan pada tahun 2018 itu, beliau tidak pernah mengira latar belakang kaum atau agama dalam membantu masyarakat.
Ketika kerajaan melaksanakan inisiatif menu Rahmah, Jawahar antara yang dilihat di hadapan menyambut baik langkah itu dalam membantu rakyat.
Baginya, semua rakyat perlu diberikan bantuan sekiranya memerlukan, baik dari sudut kewangan meskipun keperluan asas.
"Masa pandemik COVID-19, semua berubah, kedai hanya boleh bungkus makanan sahaja, dalam keadaan itu pun ktia teruskan bantuan dengan meletakkan 100 bungkus makanan kita letak di restoran Ali Maju.
"Bila ada keperluan orang ramai hanya perlu ambil. Alhamdulilah tahun ini, kita ada program hari raya dan bila mana kita bagi bungkusan pek bantuan ramai rasanya kali ini ramai tampil minta izin kalau boleh nak sekampit lagi beras.
"Benda ini tidak pernah jadi, saya rasa bila tengok suasana ni saya rasa keperluan sangat tinggi dalam kalangan rakyat yang terkesan,"ujarnya lagi.
Sehingga kini, Jawahar memiliki 18 rangkaian restoran di Lembah Klang.
"Kalau kita makan empat lima kali sehari, tapi kita tahu rakan-rakan, jiran-jiran kita yang agak terkesan. Sudah menjadi kewajipan untuk membantu mereka.
"Saya tidak suka meletakkan syarat, dan pertikaikan sekiranya orang itu memiliki kenderaan yang hebat, adakah dia layak menerima bantuan.
"Pada saya itu bukan kerja kita, pada saya Allah SWT amanah kita untuk membantu sedaya yang mungkin," kata Jawahar Ali lagi.
#Jawahar Ali Taib Khan #Presma #bantu rakyat #perniagaan