Sepuluh lelaki ditahan untuk membantu siasatan kes samun dan bunuh seorang jurutera komputer, Loh Min Lee, 35 di Taman Putra Perdana, Puchong pada 8 Disember lalu.

Suspek diberkas pada Khamis lepas di sekitar kawasan Segamat, Johor dan Taman Putra Perdana, Puchong .

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Rosli Mohd Isa berkata polis turut menemui sebuah televisyen LCD 32-inci, dompet mangsa, sebuah telefon bimbit, iPad dan sebuah komputer riba yang dipercayai dilarikan ketika kejadian tersebut.

“Semua barangan yang dicuri telah berjaya ditemui semula. Malah, kereta Toyota Vios milik mangsa yang dilaporkan hilang pada selepas kejadian itu telah ditemui di Kelantan pada Sabtu lalu,” kata Rosli.

Menurutnya lagi, kesemua suspek berumur diantarta 17 dan 30 tahun dan lima daripadanya adalah pembeli barangan-barangan yang dirompak dari rumah Loh.

“Semua suspek ini dipercayai adalah penagih dadah malah salah seorang dari mereka yang berumur 24 tahun ini mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan pecah rumah dan sangat dikehendaki oleh polis daerah Sepang bagi kesalahan yang sama,” kata Rosli lagi.

Mayat Loh ditemui terbaring berlumuran darah di dalam rumahnya di Taman Putra Perdana, Puchong oleh abangnya pada 8 Disember lalu.

Laporan bedah siasat yang dilakukan di Hospital Serdang mengesahkan Loh mati akibat hentakan oleh objek tumpul di kepalanya.

Siasatan polis mendapati suspek memasuki rumah mangsa dengan membengkokkan jeriji besi tingkap rumah mangsa.

Suspek direman hingga 20 Disember untuk membantu siasatan.