MALAYSIA
Bantuan Gaza perlu lalui 'cooling period' sebelum dibenarkan masuk?

Dari kiri wartawan Pia Ernadya, Nik Marina; Setiausaha Pertama Kedutaan Malaysia di Jordan, Nur Najihah Md Abas dan Kaunselor Kedutaan Malaysia di Jordan, Muhd Irfan Zulkurnain menunjukkan antara barangan bantuan yang akan disalurkan ke Gaza.
ZARQA: Setiap bantuan kemanusiaan ke Gaza tidak akan memasuki ke wilayah itu serta-merta, sebaliknya, perlu melalui tempoh menunggu atau cooling period sebelum dibenarkan melintasi pintu masuk.
Pengarah Misi Bantuan Kemanusiaan Karisma (KHOM) Malaysia, Nik Marina Hussin berkata, ini ekoran konsep 'first come, first serve' merupakan prosedur biasa yang diamalkan pihak berkuasa bagi mengatur giliran penghantaran.
"Ini sudah kali kelima kami menyalurkan bantuan ke Gaza melalui Jordan, dan empat kali sebelum ini, memang ada cooling period sebab dia adalah first come first serve.
"Kalau kita tengok, sebelum kita masuk ke dalam warehouse (gudang) ini pun, sudah ada banyak bantuan dari pertubuhan bukan kerajaan lain dan badan-badan dunia."Apa yang berlaku ketika ini ialah proses (pengurusan bantuan) agak cepat... kalau pintu dibuka dan tidak ditutup, selalunya cooling off period dua minggu hingga lima minggu. Pihak KHOM Malaysia punya bantuan selalunya hanya dalam dua minggu," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI di Pertubuhan Kebajikan Hashimiyeh Jordan (JHCO), di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Nik Marina berkata, satu mesyuarat dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat bagi menentukan tarikh penghantaran bantuan yang kini berada di gudang Jordan.
"Insy-Allah, dalam masa terdekat, kita akan dapat tahu bila bantuan kita akan masuk ke Gaza. Tapi setakat ini apa yang kita tahu, pihak Jordan sedang cuba untuk mempercepatkan bantuan KHOM Malaysia kerana kami ada tepung.
"Disebabkan tepung itu, mereka mahu percepatkan proses itu supaya tidak rosak," katanya.

Terdahulu, Astro AWANI pada Isnin melaporkan, sebanyak dua buah lori sarat dengan bantuan kemanusiaan dijadualkan menembusi Gaza melalui pintu masuk Jambatan Raja Hussein, sebagai sebahagian daripada Operasi Degupan Jantung Gaza anjuran KHOM Malaysia.
Konvoi tersebut membawa 1,248 pek makanan dan 150 beg tepung seberat 50 kilogram setiap satu yang diserahkan kepada JHCO untuk diagihkan kepada penduduk Gaza yang terjejas akibat konflik berterusan.
Sehingga Selasa, sebuah lagi lori sarat dengan bantuan kemanusiaan termasuk 800 paket susu formula bayi dijadualkan menembusi Gaza melalui pintu masuk Jambatan Raja Hussein.
Konvoi kali ini turut membawa 576 pek makanan, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan yang dihantar setakat ini melibatkan tiga buah lori.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami