Bantuan kemanusiaan Gaza: Tiadakah cara untuk hantar bantuan melalui udara, soal Dr Halimah

Ridauddin Daud
November 1, 2023 13:45 MYT
Menurut Dr Halimah, berdasarkan pengalaman membantu mangsa bencana tsunami sebelum ini, laluan udara digunakan bagi memberi bantuan. - Gambar fail Screengrab Youtube/Parlimen
KUALA LUMPUR: Dr Halimah Ali (PN - Kapar) di Dewan Rakyat pada Rabu membangkitkan persoalan mengapa bantuan makanan dan kemanusiaan tidak boleh dihantar melalui laluan udara ke Gaza.
Menurutnya, berdasarkan pengalaman membantu mangsa bencana tsunami sebelum ini, laluan udara digunakan bagi memberi bantuan.
Begitupun, katanya, inisiatif itu sudah pasti perlu mendapat persefahaman antarabangsa agar bantuan itu tidak pula ditembak rejim Zionis.
“Kalaulah jalan darat, bermakna trak-trak yang nak masuk ini, beratur nak masuk sedangkan disekat…tidak adakah cara, bantuan daripada udara dari negara antarabangsa untuk bantu.
“Pengalaman saya dalam tsunami dan sebagainya, dia ‘drop’ (bantuan kemanusiaan) daripada atas tapi kena ada persefahaman antarabangsa, dari segi kemanusiaan untuk memahamkan Israel.
“Jangan dia (Israel) pula tembak bantuan makan dan perubatan itu,” katanya.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menjawab: “Itu cadangan ideal. Kita pun setuju (cadangan Dr Halimah).
“Sekiranya kalau ruang udara itu dibuka, bagi membolehkan penghantaran dilakukan.
“Itulah yang sebaiknya tapi itu tidak terjadi. Yang berlaku adalah, bukan penghantaran makanan tetapi penghantaran bom-bom yang berterusan di bumi Gaza,” jawab beliau.
#Gaza #bantuan kemanusiaan #rejim Zionis #Zambry Abd Kadir