Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – ikuti perkembangan harian prosiding mahkamah di sini.
MALAYSIA

Bantuan kepada Harimau Malaya tidak akan dihentikan - Hannah

Bernama 16/10/2025 | 09:21 MYT
Hannah (foto) tegaskan KBS akan terus menyokong skuad Harimau Malaya walaupun tujuh pemain warisan digantung oleh FIFA, kerana masih ramai pemain tempatan yang aktif mewakili negara. -Gambar fail/KBS
PUTRAJAYA: Bantuan dan peruntukan kerajaan kepada pasukan bola sepak kebangsaan tidak akan dihentikan kerana masih banyak pemain tempatan yang mewakili skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.


Ringkasan AI
  • KBS akan terus menyokong skuad Harimau Malaya walaupun tujuh pemain warisan digantung oleh FIFA, kerana masih ramai pemain tempatan yang aktif mewakili negara.
  • Hannah Yeoh tegaskan bantuan kerajaan tidak akan dihentikan selagi ada pemain tempatan yang memerlukan sokongan, dan akan tunggu keputusan penuh FIFA sebelum beri kenyataan rasmi.
  • FAM telah dikenakan denda RM1.8 juta dan tujuh pemain digantung 12 bulan atas kesalahan pemalsuan dokumen, namun rayuan rasmi telah difailkan kepada FIFA.


Beliau menegaskan pihaknya akan terus menyokong skuad kebangsaan meskipun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang berdepan isu penggantungan tujuh pemain warisan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"... keputusan penggantungan sekarang adalah terhadap tujuh pemain berkenaan tetapi banyak orang lupa sebenarnya pasukan Harimau Malaya masih ada (pemain-pemain tempatan).

"Seperti semasa lawan dengan Laos, masih ada Faisal Halim, Arif Aiman dan lain-lain. Takkan kita tak nak bantu pemain bola sepak tempatan yang masih bermain untuk pasukan Malaysia.

"Selagi kita ada pasukan dan pemain tempatan yang memerlukan sokongan kita, selagi itu kita akan usaha membantu mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Remaja Asia 2025 di Bahrain dan Sukan Perpaduan Islam 2025 di Arab Saudi, di sini, hari ini.

Temasya Sukan Remaja Asia 2025 akan berlangsung dari 22 hingga 31 Okt dengan penyertaan 120 atlet negara dalam 17 acara sukan, manakala Sukan Perpaduan Islam 2025 dijadualkan berlangsung dari 7 hingga 21 Nov dengan 17 atlet kebangsaan bakal bersaing dalam lima acara sukan.

Dalam perkembangan sama, Hannah menjelaskan pihaknya kekal dengan pendirian untuk menunggu keputusan penuh FIFA sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai isu berkenaan.

Bulan lepas, FAM dan tujuh pemain warisan negara iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Perkara 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Dalam satu kenyataan, FIFA memaklumkan FAM telah menyerahkan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain berkenaan, yang membolehkan mereka beraksi dalam perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.

Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan berkenaan.

Sementara itu, Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi dilaporkan berkata FAM telah memfailkan rayuan rasmi kepada FIFA berhubung keputusan tatatertib isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan.

Beliau berkata pihaknya bertindak pantas setelah menerima penghakiman penuh FIFA pada 7 Okt lepas, dengan pasukan perundangan FAM menyiapkan segala dokumen untuk diserahkan sebelum tarikh akhir.

-- BERNAMA



#Hannah Yeoh #harimau Malaya #pemain warisan #FIFA