KUALA LUMPUR: Mangsa banjir di seluruh negara boleh mendapat bantuan tunai sehingga RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah (KIR), kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelbagai bantuan itu merupakan usaha kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Dengan usaha ini, pencarum boleh mengekalkan simpanan mereka dan menikmati dividen tahunan sekitar 5 peratus sekali gus mereka boleh merancang masa depan selepas bersara.

"Malah bagi mereka yang mengalami kemusnahan rumah secara total, jumlah bantuan jauh lebih tinggi dan boleh mencecah RM61,000.

"Saya berharap dengan pemberian ini sedikit sebanyak dapat memberi Sinar Baharu kepada Keluarga Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan sambutan Tahun Baharu 2022 yang dipancarkan ke seluruh negara.

Ismail Sabri pada masa sama turut mengumumkan bantuan wang tunai RM2,500 untuk pembelian barangan keperluan serta bantuan membina rumah baharu sehingga RM56,000.

"Kerajaan juga akan menyediakan bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk kerja-kerja pembaikan rumah kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan yang tidak serius.

"Bagaimanapun, bagi kerosakan serius, kerajaan sendiri akan mengurus baik pulih rumah dengan kos sehingga RM15,000.

"Manakala, bagi rumah yang musnah dan tidak boleh diduduki, kerajaan akan membantu sehingga kos RM56,000 setiap unit rumah dibina baru.

"Memandangkan banyak sukarelawan serta NGO telah memberikan sumbangan peralatan kepada mangsa dan untuk mengelakkan pertindihan, kerajaan bersetuju untuk memberikan wang tunai sebanyak RM2,500 khusus untuk pembelian barangan keperluan mengikut kesesuaian masing-masing.

"Pemberian ini adalah khas untuk mereka yang mengalami kerosakan barangan akibat banjir," katanya dalam perutusan tersebut.

Dalam perutusan tersebut, Ismail Sabri turut menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan kehilangan 48 nyawa yang menjadi korban banjir.

Namun, di sebalik tragedi dan kesedihan, beliau akui musibah banjir tersebut telah menyerlahkan semangat Keluarga Malaysia iaitu kebersamaan dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan pangkat.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada agensi-agensi keselamatan, kakitangan Kerajaan, NGO, sukarelawan serta individu-individu yang bertungkus lumus membantu dan menyelaraskan misi bantuan semasa banjir serta melakukan kerja-kerja pemulihan pasca banjir.

"Begitu juga bantuan dan sumbangan daripada sektor korporat termasuk GLC dan GLIC.

"Anda semua adalah wira-wira yang tidak didendang. Syabas dan tahniah saya ucapkan," katanya.