MALAYSIA
Bantuan rakyat 2025 naik, bukti komitmen kerajaan kurangkan kos sara hidup - Lim

Lim Hui Ying pada sesi jawab lisan sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Peningkatan peruntukan pelbagai bentuk bantuan kewangan bagi tahun ini membuktikan Kerajaan MADANI komited dalam usaha mengurangkan tekanan kos sara hidup dihadapi rakyat, di samping memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan.
Ringkasan AI
- Kerajaan MADANI menaikkan peruntukan STR dan SARA kepada RM13 bilion serta bantuan JKM kepada RM2.9 bilion untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
- Bantuan untuk warga emas, kanak-kanak miskin, Jualan RAHMAH, subsidi BUDI MADANI dan Pas My50 ditingkatkan bagi bantu kehidupan harian golongan sasar.
- Gaji penjawat awam dan gaji minimum dinaikkan, selari dengan strategi Ekonomi MADANI untuk pertumbuhan mampan dan berdaya tahan.
"Kerajaan juga menaikkan peruntukan bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM2.9 bilion bagi tahun ini berbanding RM2.4 bilion tahun sebelumnya," katanya menjawab soalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Hamzah mengemukakan soalan berhubung strategi kerajaan bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, berikutan jumlah hutang negara yang kini mencecah RM1.5 trilion.
Lim berkata bantuan lain termasuk Bantuan Warga Emas dinaikkan kepada RM600 sebulan berbanding RM500, Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin kepada RM250 (enam tahun ke bawah) dan RM200 (tujuh hingga 18 tahun), tertakluk kadar maksimum RM1,000 sekeluarga.
Turut dinaikkan ialah Bantuan Am di Wilayah Persekutuan kepada RM150 sebulan berbanding RM100, dengan kadar maksimum RM500 sekeluarga.
"Kerajaan juga memperuntukkan RM1 bilion bagi pelbagai inisiatif menangani kos sara hidup secara menyeluruh termasuk pengawalan harga bahan asas seperti beras dan minyak masak.
"Daripada jumlah itu, RM300 juta diperuntukkan khusus untuk Program Payung RAHMAH, termasuk perluasan Jualan RAHMAH ke seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menawarkan barangan asas pada harga berpatutan," katanya.
Beliau berkata baki RM700 juta pula digunakan untuk memperluas pelaksanaan program pengurangan kos sara hidup lain yang bersasar kepada kumpulan B40 dan M40.
Selain itu, Lim berkata kerajaan juga meneruskan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebagai usaha strategik membantu ibu bapa menyediakan keperluan pendidikan anak-anak, selain Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) sebagai subsidi kepada sektor pengangkutan awam, petani, penternak, pekebun kecil dan pemilik kenderaan diesel individu.
"Kerajaan turut melaksanakan Pas Bulanan My50 yang memanfaatkan pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang, terutamanya dalam kalangan golongan B40 dan M40," katanya.
Beliau berkata peningkatan pendapatan rakyat turut diberi tumpuan melalui kenaikan gaji penjawat awam dan gaji minimum yang dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700.
"Langkah-langkah ini penting untuk memastikan ekonomi negara terus berkembang ke arah merealisasikan objektif di bawah kerangka Ekonomi MADANI," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami