Skip to main content

Malaysia

Bantuan RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa, bas sekolah diagih Rabu

Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada sidang media di Kementerian Pengangkutan hari ini.  - Foto Bernama
Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada sidang media di Kementerian Pengangkutan hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

PUTRAJAYA: Bantuan khas sebanyak RM1,000 kepada kira-kira 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah akan mula diagihkan secara berperingkat pada Rabu ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pengagihan awal akan melibatkan kumpulan pertama penerima yang bakal dijemput hadir ke Kementerian Pengangkutan bagi menerima baucar bantuan berkenaan.

“Ada yang bertanya mengapa bantuan ini dapat diberikan walaupun bajet hanya dibentangkan, belum diluluskan?

“Saya nak menjelaskan apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu, hasilnya sudah masuk untuk tahun ini, iaitu penjualan nombor pendaftaran istimewa siri H yang menjana RM91.2 juta.

“Jadi itu kita kembalikan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan juga bas sekolah secara berfasa.

“Bayaran ini kita komited untuk berikan dalam tempoh terdekat kepada pemandu beragama Hindu, sebelum perayaan Deepavali,” jelas Antony dalam satu sidang media, di sini, pada Isnin.

Tambah Anthony, pengagihan bantuan berkenaan akan diteruskan kepada kumpulan penerima lain secara berperingkat selepas penyerahan awal pada Rabu.

Inisiatif itu merupakan antara langkah kerajaan membantu golongan pengusaha dan pemandu pengangkutan awam darat, khususnya dalam mengurangkan beban kos sara hidup.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut memperkenalkan pas MyKomuter50 pada kadar RM50 sebulan bagi pengguna perkhidmatan KTM Komuter, sebagai langkah mengurangkan kos perjalanan rakyat.

Menurut Anthony, pas itu membolehkan warganegara Malaysia menggunakan perkhidmatan KTM Komuter tanpa had selama 30 hari, dengan sasaran pelaksanaan seawal 1 Disember ini atau selewat-lewatnya 1 Januari 2027.

Menurutnya, pengguna hanya perlu menggunakan MyKad untuk mendaftar dan mendapatkan pas berkenaan, manakala mekanisme pelaksanaannya sedang diperkemas oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Pengguna laluan jarak jauh berpotensi menikmati penjimatan ketara, termasuk sehingga RM366 sebulan bagi perjalanan dari Tanjung Malim ke Kuala Lumpur atau dari Padang Besar ke Butterworth dan Kulim,” ujar Anthony.

Must Watch Video

Advertisement