LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan, beliau mempunyai banyak rancangan dan pelan membangunkan orang Melayu dari pelbagai aspek ketika beliau menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri buat kali kedua.

Bagaimanapun, menurut Dr Mahathir, belum sempat pelan itu dilaksanakan, beliau telah 'ditolak jatuh' serta dibuang daripada jawatan berkenaan.

Antara perancangan yang disenaraikan Dr Mahathir ialah mengurangkan kemiskinan dalam kalangan orang Melayu yang menjadi masalah utama sejak sekian lama.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pelawaan Ketua Penerangan UMNO Selangor, Isham Jalil yang berhasrat mengadakan wacana bersama Ahli Parlimen Langkawi itu.

Menurut Ahli Parlimen veteran itu, selain daripada penganjuran wacana, terdapat beberapa kaedah lain dalam menyuarakan pandangan bagi mengetengahkan isu-isu khususnya dalam membangunkan negara Malaysia.

Pelawaan itu juga, tegas Dr Mahathir, mempunya tujuan tertentu yang akan memberikan kelebihan kepada pihak atau individu seperti Isham.

"Ada banyak cara kita bangkitkan isu ini, tidak semestinya ada wacana seperti ini, pasal ada tujuan tertentu nak ada perjumpaan seumpama itu.

"Saya bercakap berkenaan banyak masalah orang Melayu dan kita sudah tahu banyak cara mengatasi masalah itu dan kita sudah rancang macam mana nak mengatasi masalah kemiskinan di kampung, tetapi belum pun lancar projek itu saya kena buang, ditolak jatuh,

"Jadi diorang lebih utamakan nak jadi Perdana Menteri daripada selesaikan masalah orang Melayu, masalah orang Melayu ini banyak terutama kemiskinan, kita perlu ada perancangan macamana nak kurangkan kemiskinan dalam kalangan Melayu," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Jamuan Hari Raya Parlimen Langkawi, di Dataran Telaga Walk di sini, pada Isnin.

Pada Sabtu, Isham memaklumkan hasratnya untuk mengadakan sesi wacana bersama Dr Mahathir.

Dalam hantaran di Facebook miliknya, Isham menyatakan kesediannya berdepan dengan bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu pada bila-bila masa untuk menerangkan beberapa isu.