ALOR SETAR: Bapa kepada dua beradik warga Myanmar yang maut selepas dipercayai memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa dekat Bukit Malut, Langkawi, semalam ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata polis menahan lelaki yang berumur 36 tahun itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi pada pukul 12.05 tengah malam tadi tadi.

Beliau berkata lelaki itu ditahan selepas menyelesaikan urusan berkaitan dua anak lelakinya itu yang dikenali sebagai Nizambudin Jamaludin, 4, dan Ngei, 2, yang maut kira-kira 6.15 petang semalam, dan lelaki itu juga didapati positif dadah.

"Lelaki yang bekerja dengan mengambil upah membaiki kelengkapan bot dan melakukan kerja kampung itu ditahan reman selama 14 hari. Mayat dua beradik itu akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar hari ini untuk proses bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Dua kanak-kanak maut selepas makan sisa makanan dari tong sampah

Shariman berkata kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata lelaki yang tidak mempunyai rumah sendiri dan menumpang di rumah jiran itu tinggal bersama dua anak lelakinya manakala isterinya dipercayai telah pulang ke negara asal, Myanmar.

-- BERNAMA