MALAYSIA

Bapa Altantuya desak siasat kandungan afidavit Azilah

Sinar Harian 28/08/2025 | 06:40 MYT
Azilah (gambar kanan) dan Sirul Azhar disabitkan membunuh Altantuya pada 2006.
KUALA LUMPUR: Bapa mendiang Altantuya Shaariibuu memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin lalu, bagi memaksa pihak berkuasa menyiasat kandungan afidavit bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri yang membunuh model Mongolia itu, 19 tahun lalu.


Ringkasan AI
  • Bapa mendiang Altantuya, Dr Shaariibuu Setev, memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi memaksa pihak berkuasa menyiasat kandungan afidavit Azilah Hadri yang digunakan dalam permohonan menukar hukuman mati kepada penjara 40 tahun.
  • Permohonan itu menamakan lima responden termasuk Ketua Polis Negara dan Peguam Negara, dengan tuntutan agar siasatan terhadap afidavit tambahan diselesaikan dalam sebulan serta makluman status siasatan diberikan dalam tujuh hari, atau alasan jika diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.
  • Azilah dan Sirul Azhar disabitkan membunuh Altantuya pada 2006, namun hukuman mati Azilah diganti dengan penjara selepas Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 berkuat kuasa, manakala Sirul melarikan diri ke Australia dan dibebaskan akhir tahun lalu.


Dr Shaariibuu Setev selaku pemohon, menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga kelima.

Peguam, Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga mendiang dalam kenyataan media pada Khamis berkata, afidavit bertarikh 24 September 2024 itu mengandungi Akuan Berkanun bertarikh 17 Oktober 2019.

Menurutnya, pada Oktober 2024, Azilah telah menggunakan dokumen itu untuk menyokong permohonannya di Mahkamah Persekutuan bagi menukar hukuman mati ke atasnya.

Permohonan itu dibenarkan panel Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara ketika itu, Hakim Tengku Maimun Tuan Mat.

Katanya, mahkamah kemudiannya menukar hukuman mati Azilah kepada penjara 40 tahun bermula dari tarikh tangkapan, ditolak tempoh beliau dibebaskan selepas keputusan Mahkamah Rayuan, serta 12 sebatan.

Menurut Sangeet, Tengku Maimun dalam penghakimannya menyatakan kandungan afidavit tambahan dan akuan berkanun itu tidak pernah dipertikai atau disangkal pihak pendakwaan ketika prosiding berkenaan.

“Sekali gus membolehkan mahkamah menerapkan prinsip perkadaran dalam menjatuhkan hukuman,” katanya.

Berdasarkan afidavit, Setev memberitahu bahawa pihak polis tidak memaklumkan status siasatan terkini yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman pada 2019 berhubung kandungan afidavit tambahan Azilah.

Sekiranya siasatan terhadap afidavit tambahan masih berjalan, beliau memohon perintah mandamus agar siasatan dilengkapkan dalam tempoh sebulan dari tarikh perintah mahkamah.

Beliau turut meminta perintah mandamus supaya polis memaklumkan secara terperinci mengenai status terkini siasatan Bukit Aman terhadap afidavit Azilah dalam tempoh tujuh hari.

“Jika polis memutuskan untuk mengklasifikasikan kertas siasatan sebagai tiada tindakan lanjut atau NFA, pemohon mahukan alasan tindakan itu diambil,” kata afidavit.

Mahkamah menetapkan 29 September depan untuk Setev untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman yang akan didengar di hadapan Hakim, Datuk Aliza Sulaiman.

Azilah yang membunuh Altantuya terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan di sini pada 10 Oktober tahun lalu, menggantikannya kepada hukuman penjara selama 40 tahun.

Panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarkan permohonan semakan hukuman mati Azilah, 49, untuk mengetepikan hukuman yang dikenakan terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan dia dihukum bermula tarikh tangkap 1 November 2006 dan dikenakan 12 sebatan.

Sebelum ini, dia memohon hukuman mati itu diganti dengan hukuman penjara berikutan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 4 Julai 2023.

Di bawah undang-undang baharu itu, hakim mempunyai kuasa budi bicara untuk mengenakan sama ada hukuman mati atau pemenjaraan antara 30 hingga 40 tahun.

Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah lelaki berusia di bawah 50 tahun berdepan sebatan minimum sebanyak 12 kali.

Azilah telah disabitkan bersalah pada tahun 2009 bersama seorang lagi bekas anggota polis, Koperal Sirul Azhar Umar kerana membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam, Selangor antara jam 10 malam 19 Oktober 2006 hingga 1 pagi keesokannya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menjatuhi mereka hukuman mati sementara, penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat melakukan pembunuhan terbabit.

Pada 2013, Azilah dan Sirul Azhar dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan namun, dua tahun kemudian iaitu pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan itu dengan mengekalkan sabitan serta hukuman mati terhadap mereka.

Sirul Azhar tidak hadir untuk mendengar keputusan Mahkamah Persekutuan itu kerana melarikan diri ke Australia pada 2006 di mana dia ditahan di bawah undang-undang Imigresen sebelum dibebaskan pada akhir tahun lepas.

Pada 2020, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Azilah untuk dibicarakan semula dan semakan sabitan terhadapnya.

Media melaporkan bahawa Azilah turut memohon pengampunan Diraja daripada Sultan Selangor.

Altantuya yang dilaporkan berperanan sebagai penterjemah proses rundingan penjualan kapal selam oleh sebuah syarikat pembekal senjata dari Perancis, DNS kepada kerajaan Malaysia, dibunuh dua pengawal peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, pada 18 Oktober 2006. - Sinar Harian





#Altantuya Shaariibuu #Azilah Hadri #semakan kehakiman #hukuman penjara