Tindakan seorang lelaki yang pada awalnya cuba meyakinkan pihak hospital bahawa bayi perempuannya cedera akibat ditendang lembu, menemui kegagalan.
Ia selepas pemeriksaan dilakukan mendapati kecederaan dialami anaknya itu adalah akibat dilanggar lelaki itu sendiri sewaktu dia mengundurkan kenderaan.
Dalam kejadian pada jam 10.56 malam Khamis, lelaki warga Myanmar itu yang sedang mengundurkan kereta dikatakan tidak menyedari anaknya yang berusia setahun itu berada di belakang kenderaan itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G Suresh berkata, dalam keadaan panik lelaki itu kemudiannya membawa anaknya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
“Bayi perempuan itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka kini masih di rawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Susulan dari kejadian itu, satu kertas siasatan dibuka dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiaya, diabaikan atau dibuang.
"Sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Suresh berkata, kes turut di siasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana suspek disyaki tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Katanya, bagi kesalahan itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari tiga bulan dan tidak melebihi dua tahun dan sebat tidak kurang dari tiga sebatan.
"Suspek berusia 27 tahun, bekerja sebagai buruh binaan itu ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut," katanya lagi.