MALAYSIA
Bapa jadi 'rakan belajar' anak, duduki SPM pada usia 57 tahun
Lim Siong Fui (kiri) berkata beliau mendaftar sebagai calon persendirian bagi dua subjek iaitu Matematik dan Matematik Tambahan pada April lepas. - Bernama
SEREMBAN: Demi memberi sokongan penuh kepada anak lelaki bongsu yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seorang bapa berusia 57 tahun mengambil langkah luar biasa apabila turut mendaftarkan diri sebagai calon sekali gus berkongsi perjalanan akademik bersama anaknya.
Lim Siong Fui berkata beliau mendaftar sebagai calon persendirian bagi dua subjek iaitu Matematik dan Matematik Tambahan pada April lepas, semata-mata untuk meniupkan semangat kepada anaknya Lim Yi Hen, 17, seorang pelajar aliran Sains.
Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman itu berkata sebagai persediaan menghadapi peperiksaan, mereka sering mengulang kaji bersama dan saling bertukar pandangan khususnya ketika mencari penyelesaian bagi soalan kedua-dua subjek berkenaan.
"Selepas hampir 40 tahun, saya menyahut cabaran untuk menduduki semula peperiksaan SPM bagi dua subjek berkenaan. Selain memberi semangat kepada anak, kami juga dapat 'bersaing' secara sihat.
"Dengan menduduki peperiksaan penting ini bersama-sama, saya bukan sahaja dapat menemani dia mengulang kaji pelajaran malah turut membantu mencari penyelesaian soalan. Matlamat kami sama, mahu memperoleh keputusan cemerlang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Bapa kepada tiga anak itu akan menduduki peperiksaan di SMK Gemas pada Isnin depan bagi subjek Matematik manakala peperiksaan Matematik Tambahan pada 15 Dis ini.
Lim menduduki SPM pada 1986 dan memperoleh keputusan gred A1 dalam Matematik manakala A2 bagi Matematik Tambahan.
Kali ini beliau menyasarkan keputusan cemerlang bagi kedua-dua subjek tersebut bersama anak kesayangannya itu.
Beliau berkata anaknya juga berbakat dalam penguasaan subjek berkenaan dan menunjukkan kesungguhan tinggi untuk meraih keputusan cemerlang.
"Anak saya beritahu cita-citanya dalam bidang sains komputer. Kami sekeluarga tidak mengehadkan minatnya dalam apa jua bidang, malah saya dan isteri sentiasa memberikan sokongan penuh.
"Saya juga sering menasihatinya untuk menjadi pelajar cemerlang, disiplin adalah perkara paling penting yang saya tekankan kepadanya," katanya.
Lim merupakan seorang daripada calon persendirian di Negeri Sembilan bersama seorang lagi calon berusia 60 tahun, seorang pesara swasta yang mendaftar untuk enam subjek pada SPM kali ini.
Terdahulu Pengarah Pendidikan Negeri Khalidah Omar berkata seramai 1,164 calon persendirian mendaftar untuk SPM di negeri ini merekodkan peningkatan 30.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata secara keseluruhan, 17,354 calon SPM di negeri itu menduduki peperiksaan di 145 pusat peperiksaan di sekolah termasuk 14 pusat di hospital.
Dalam pada itu, Khalidah berkata pihaknya mengenal pasti 15 pusat peperiksaan SPM dan 246 calon yang berisiko terjejas banjir susulan musim Monsun Timur Laut yang dijangka berlarutan hingga Mac depan.
Beliau berkata Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) dan semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah mengadakan taklimat keselamatan peperiksaan serta melantik jawatankuasa keselamatan di peringkat negeri dan daerah, melibatkan kerjasama agensi Persekutuan dan negeri.
"JPNS turut melantik pegawai perhubungan (focal person) di peringkat jabatan dan PPD sepanjang peperiksaan bagi membantu calon berdepan masalah atau ibu bapa yang memerlukan maklumat," katanya sambil menambah Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan (SSP) JPNS bertindak sebagai bilik Gerakan ketika bencana berlaku dan boleh dihubungi di talian 06-7643347.
-- BERNAMA