LANGKAWI: Bapa kepada dua kanak-kanak warga Myanmar yang maut selepas dipercayai memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa, Bukit Malut, Langkawi pada Ahad ditahan pihak polis semalam bagi siasatan lanjut.

Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner (ACP) Shariman Ashari, lelaki berusia 36 tahun itu akan disiasat di bawah Sek 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63, dan Seksyen 15(1)  Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambahnya, individu berkenaan juga didapati positif dadah selepas ujian awal air kencing, dijalankan ke atasnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa mayat dua kanak-kanak itu akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dari Hospital Sultanah Maliha, Langkawi hari ini bagi proses bedah siasat.

Pada Ahad, dua beradik warga Myanmar maut selepas dipercayai memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa dekat Bukit Malut, Langkawi.

BACA: Dua kanak-kanak maut selepas makan sisa makanan dari tong sampah

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata polis menerima laporan berhubung kematian dua kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Nizambudin Jamaludin, 4, dan Ngei, 2, kira-kira jam 6.15 petang.

Siasatan awal mendapati, pada 5.30 petang bapa mangsa yang berumur 36 tahun ternampak dua anaknya berada di kawasan tong sampah dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum mengangkat kedua-dua mangsa ke rumah jiran berdekatan.

Mayat kedua-dua beradik itu dihantar ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.