“Saya serahkan segalanya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan”.

Demikian jelas Abdul Hamid Yunus, 57, atas kejadian yang menimpa anaknya Norwahidah Abdul Hamid, 28, yang maut dalam kebakaran dalam sebuah rumah di Taman Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada Isnin lalu.

Menurut Abdul Hamid anaknya tidak pernah menceritakan tentang sebarang masalah bersama suaminya Wan Mohd Baharul Nizam Wan Bakar, 35, malah mereka begitu teruja menantikan majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung pada 2 Febuari ini di Kangar, Perlis.

BACA: Polis klasifikasi kes suami isteri mati dalam kebakaran sebagai kes bunuh

BACA: Dua maut dalam kebakaran di Sepang - Bomba

Beliau juga tidak menyangka sama sekali kejadian yang menimpa anak dan menantunya itu.

Foto Bernama

Jelasnya biarlah polis jalankan siasatan terlebih dahulu dan segala keputusan beliau redha dengan ketentuan Ilahi.

“Saya tidak ada apa hendak ulas lagi, saya perlu berjumpa dengan pegawai penyiasat yang berkaitan untuk beberapa urusan anak saya sebab saya pun tidak dapat fakta kes yang tepat daripada pihak penyiasat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu ibu mangsa, Zaiton Ismail, 57, berkata beliau bersyukur kerana pengkebumian anaknya selesai dengan baik di Tanah Perkuburan Masjid An-Najah, Ayer Hitam di kampung nenek Allahyarham.

Beliau berasa sedih kerana segala persiapan majlis perkahwinan telah siap dan hanya menantikan tarikh berlangsung sahaja.

Astro AWANI cuba mendapatkan reaksi ibu Allahyarham bagaimanapun beliau enggangan memberikan kenyataan kerana sebak mengenangkan kejadian menimpa anaknya itu.

Foto Bernama

Pasangan Norwahidah dan Wan Mohamad Baharul Nizam dijadual mengadakan majlis kenduri perkahwinan mereka di Kangar, Perlis pada 2 Februari dan 6 Februari ini di Besut, Terengganu.

Kad-kad jemputan untuk majlis itu yang belum sempat diedar turut dijumpai dalam rumah yang terbakar itu.

Bagaimanapun semalam, polis mengklasifikasi semula kes itu sebagai kes bunuh berdasarkan bedah siasat mendapati terdapat kecederaan akibat hentakan benda keras di kepala Norwahidah.

Kedua-dua mangsa adalah penjawat awam yang bertugas di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya.