Bapa murid Orang Asli cam mayat Sasa berdasar gelang getah dan subang

Bernama
Oktober 8, 2015 12:52 MYT
abrie Latip, 25, (tengah) bapa kepada Sasa, 8, yang dilaporkan hilang bersama enam rakan yang lain di hutan tidak dapat menahan kesedihan selepas membuat pengecaman mayat anaknya di Hospital Gua Musang hari ini. - Foto Bernama
Gelang getah dan subang yang belum tertanggal dari telinga mayat budak perempuan yang ditemui reput di Sungai Perias, Pos Tohoi semalam menyakinkan seorang bapa bahawa mayat itu adalah anaknya.
Menurut Sobrie Latip, 25, beliau mengecam mayat anaknya, Sasa, 8, yang hilang bersama enam lagi murid Sekolah Kebangsaan Tohoi sejak 23 Ogos lepas, dalam proses pengecaman mayat budak perempuan yang ditemui malam semalam, di bilik mayat Hospital Gua Musang (HGM) hari ini.
Sobrie mengakui sejak kehilangan Sasa bersama enam lagi rakannya, beliau terlalu rindukan anak kesayangannya itu.
"Saya tidak sangka keadaan ini yang berlaku dan saya mengecam mayat itu adalah Sasa apabila terdapat gelang getah pada tangannya untuk dia guna ikat rambut, dan subang yang masih ada di telinga.
"Bagaimanapun, anggota lain sukar dicam kerana telah reput termasuk rambut juga telah gugur dipercayai terlalu lama dalam air," katanya kepada pemberita di HGM di sini, hari ini.
Sobrie yang kelihatan begitu sedih berkata beliau juga telah berusaha bersama pasukan mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan anaknya sebelum ini, namun gagal.
"Tetapi hari ini hanya dapat melihat mayat anak perempuan saya dan nasib enam lagi rakannya belum dapat diketahui," katanya.
Dalam kejadian 23 Ogos lepas, tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari SK Tohoi bertindak melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran.
Tujuh murid terbabit ialah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; Sasa Sobrie, 8; Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11; - berasal dari Kampung Gawin dan Penad.
#Gua Musang #hilang #Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan #JKOAK #Orang Asli #Sobrie Latip