Bapa Soh Chin Ann meninggal dunia

Bernama
September 11, 2022 06:39 MYT
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kiri) beramah mesra bersama warga emas berusia 106 tahun, Soh Tee Tong semasa menziarahinya di rumah dekat Jalan Kolam Air pada Januari lalu. - fotoBERNAMA
MELAKA: Bapa legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Ann, Soh Tee Tong, meninggal dunia akibat uzur di Hospital Alor Gajah, awal hari ini.
Chin Ann ketika dihubungi berkata mendiang bapanya yang berusia 107 tahun mengadu tidak sihat sejak tiga hari lepas apabila tahap kesihatannya merosot kerana hilang selera makan.
"Kami adik-beradik kemudian membawa bapa ke hospital tersebut (Hospital Alor Gajah) tiga hari lepas dan mendiang disahkan meninggal dunia pada 1 pagi tadi," katanya.
Beliau berkata mendiang meninggalkan lapan anak iaitu lima lelaki dan tiga perempuan.
Katanya jasad mendiang bapanya akan dibawa ke kediamannya di Jalan Kolam, Alor Gajah dan majlis penghormatan terakhir akan dilaksanakan selama empat hari.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, ketika mengunjungi mendiang pada Januari lepas dilaporkan berkata Tee Tong merupakan individu tertua yang masih hidup di Alor Gajah ketika itu.
-- BERNAMA
#Bapa Soh Chin Ann #Soh Tee Tong meninggal dunia #meninggal dunia akibat uzur #legenda bola sepak negara