Bapa terkejut anak tidak suka mandi sungai lemas di parit

Bernama
Februari 7, 2016 23:54 MYT
Menurut bomba, remaja itu dikenali sebagai Abdul Hadi Abdul Hamid dipercayai lemas ketika sedang mandi bersama-sama dua rakannya pada kira-kira 2.30 petang. - Sumber foto Jabatan Bomba dan Penyelamat
Bapa kepada mangsa pertama korban banjir di negeri ini, Abd Hamid Buang@Hassan, terkejut apabila mengetahui anaknya yang tidak gemar mandi sungai, lemas ketika mandi di parit bersama rakannya di Kampung Tanjung Labuh, Ledang, dekat sini, petang semalam.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, anak keduanya, Abd Hadi Abd Hamid, 14, ditemukan lemas oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang melakukan pencarian pada jarak enam meter daripada tempat mangsa dipercayai lemas.
Difahamkan saksi memberitahu bahawa mangsa terkapai-kapai sebaik terjun ke dalam parit yang dipercayai sedalam 3.6 meter setelah dinaiki banjir itu, sebelum mayatnya ditemukan di dasar parit terbabit.
BACA: Remaja lelaki 14 tahun jadi korban pertama banjir di Johor
Abd Hamid berkata anak kedua daripada empat beradik itu tidak berapa mahir berenang dan jarang mandi di sungai sebelum ini, namun ajalnya telah ditetapkan oleh Tuhan.
"Setahu saya arwah tidak gemar mandi di sungai apatah lagi mandi air banjir... saya tak tahu kenapa hari ini dia pergi mandi di sungai," kata bapa berusia 43 tahun itu ketika ditemui pemberita di Hospital Tangkak, di sini pada Ahad.
Katanya, ketika kejadian, dia berada di bengkel motosikal dan terus bergegas ke tempat kejadian setelah dimaklumkan oleh isterinya mengenai tragedi yang menimpa anaknya itu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata lapan anggota bersama dua pegawai dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 2.53 petang.
"Mayat mangsa ditemukan pada pukul 3.14 petang dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di sana sebelum dibawa ke Hospital Tangkak untuk proses bedah siasat," katanya.
#Abd Hamid Buang@Hassan #banjir #bapa #ledang #mandi #mangsa korban