MALAYSIA
Bapa tiri, abang kandung mengaku bersalah rogol remaja 15 tahun
Bapa tiri (kiri) dan abang kandung mangsa (dua, kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Baling hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
BALING: Seorang pengawal keselamatan bersama dua ahli keluarganya mengaku bersalah atas pertuduhan membabitkan jenayah rogol terhadap anak tirinya berusia 15 tahun, di Mahkamah Sesyen Baling, hari ini.
Ringkasan AI
- Seorang pengawal keselamatan, anak tirinya dan isteri mengaku bersalah atas pertuduhan jenayah seksual terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun, termasuk kes rogol dan kegagalan melaporkan jenayah kepada pihak berkuasa.
- Pengawal keselamatan itu turut dijatuhi hukuman penjara 15 bulan atas kesalahan memiliki bahan lucah, manakala anak lelaki wanita itu dikenakan jamin dan menunggu laporan akhlak sebelum hukuman dijatuhkan.
- Ibu kandung mangsa didenda RM2,000 kerana gagal melaporkan jenayah seksual terhadap anaknya, walaupun mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai ia berlaku.
Tertuduh berusia 49 tahun, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di daerah Baling, kira-kira jam 4 petang, 24 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Masniah Dolah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dan menetapkan 10 Ogos depan sebagai tarikh untuk serahan laporan perubatan mangsa.
Sementara itu, lelaki berkenaan turut berdepan pertuduhan berasingan kerana memiliki bahan lucah berupa gambar dan video di dalam telefon bimbit di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling pada jam 3.40 petang, 27 Jun lalu.
Tertuduh turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan bermula dari tarikh tangkapan.
Dalam prosiding sama, abang kandung mangsa berusia 17 tahun turut mengaku bersalah atas pertuduhan merogol adiknya di rumah yang sama kira-kira jam 10 pagi, 15 Jun yang lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun dan sekurang-kurangnya 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Hakim menetapkan 30 Oktober ini untuk serahan laporan akhlak dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000.
Sementara itu, ibu kandung mangsa berusia 45 tahun turut dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan gagal melaporkan jenayah seksual terhadap anaknya kepada pihak polis.
Mengikut kertas pertuduhan, wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai itu mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai bahawa satu kesalahan seksual berlaku terhadap anak perempuannya, namun gagal membuat laporan kepada mana-mana pegawai polis.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah sekolah menengah di Baling pada jam 10 pagi, 24 Julai 2024.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 jika sabit kesalahan.
Wanita itu kemudian mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dan mahkamah mengenakan denda RM2,000 atau penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.