Barang kes hilang, stor ekshibit IPD Sepang dipecah masuk

Sinar Harian
Julai 30, 2023 10:10 MYT
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berkaitan perkara itu. - Gambar fail
SEPANG: Polis mengesahkan stor ekshibit Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dipecah masuk, pada Sabtu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berkaitan perkara itu.
“Ya, saya mengesahkan memang ada kes itu, bagaimanapun kita sedang menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menjalankan siasatan kes tersebut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk.
Terdahulu tular laporan berkaitan kejadian terbabit yang mendakwa stor ekshibit IPD Sepang dipecah masuk sehingga mengakibatkan beberapa barang kes dilarikan penjenayah.
Laporan itu turut mendakwa hasil pemeriksaan mendapati suspek memecah masuk dengan memotong dawai atas pagar bahagian stor dan memasuki melalui lubang kaunter tingkap stor.
#IPD Klang #pecah masuk #barang kes kena curi #Ketua Polis Negara