KUALA BERANG:Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menyiasat sama ada wujud elemen pencatutan atau tidak oleh penjual peranti elektronik berikutan kenaikan harga barangan berkenaan pada masa ini.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata sebanyak 248 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) telah dikeluarkan ke atas penjual komputer riba, tablet dan telefon bimbit di seluruh negara dalam Op Catut 8.0 yang bermula 25 Jan lepas.

"Notis yang dikeluarkan itu memerlukan peniaga, pemborong dan peruncit mengisytiharkan harga barang yang mereka beli daripada sumber asal kemudian kita dapat nilai sama ada berlakunya elemen pencatutan atau tidak.

"Kita mengesyaki berlakunya kenaikan harga barangan elektronik sejak pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya kepada pemberita selepas melawat kedai runcit bergerak 'Prihatin Mart' di Dataran Kuala Telemong, hari ini.

Beliau berkata orang ramai yang membuat pembelian barangan elektronik dan aksesori komputer perlu menyimpan resit pembelian dan segera membuat laporan kepada pihak KPDNHEP sekiranya mempunyai sebarang masalah.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu melahirkan rasa syukur kerana Prihatin Mart mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan penduduk kampung.

Rosol berkata kedai runcit yang bagaikan trak makanan itu menyediakan 91 jenis barangan runcit dan menawarkan harga yang lebih rendah sehingga 30 peratus daripada kebiasaannya.

"Lori ini akan bergerak ke setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini secara bergilir-gilir mengikut jadual iaitu antara Jumaat hingga Isnin bermula 10 pagi hingga 3 petang. Program Prihatin Mart ini mampu memberi peluang kepada orang kampung untuk menikmati harga barang yang lebih murah.

"Contohnya pada hari ini beras seberat 10 kilogram yang berharga RM26 di pasaran dijual hanya RM18 sahaja. Barangan bersubsidi seperti gula dan minyak masak juga diberi potongan harga sebanyak 30 peratus," katanya.

-- BERNAMA