Barisan hadapan AKPS bakal didedahkan teknik operasi Australian Border Force

Mohd Shuhaily berkata, inisiatif itu bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada pegawai pelaksana mengenai piawaian kawalan sempadan antarabangsa. - Gambar/ BERNAMA
PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merancang untuk menghantar pegawai barisan hadapannya menjalani latihan bersama Australian Border Force (ABF) sebagai usaha memperkukuh profesionalisme dan integriti penguat kuasa sempadan negara.
Ringkasan AI
- AKPS merancang hantar pegawai barisan hadapannya jalani latihan bersama Australian Border Force untuk tingkatkan profesionalisme dan integriti penguat kuasa sempadan negara.
- Inisiatif itu bertujuan beri pendedahan kepada pegawai pelaksana mengenai piawaian kawalan sempadan antarabangsa yang diamalkan ABF, termasuk pengendalian penumpang, komunikasi, dan pematuhan prosedur ketat di pintu masuk negara.
- Mohd Shuhaily menyatakan latihan dua hala masih dalam perbincangan, melibatkan aspek kewangan, permohonan, dan kelulusan rasmi, sambil turut berbincang mengenai pertukaran maklumat serta perkongsian risikan dengan rakan antarabangsa berkaitan perdagangan dan pergerakan kargo.
Beliau berkata, pemilihan pegawai barisan hadapan untuk menyertai program pendedahan itu dibuat kerana golongan berkenaan berada di peringkat pelaksanaan dan berdepan secara langsung dengan cabaran operasi harian di pintu masuk negara.
"Sebelum ini ramai pegawai peringkat atasan sudah dihantar mengikuti lawatan atau latihan, namun perubahan di peringkat operasi tidak begitu ketara.
"Justeru, kali ini saya memilih untuk menghantar pegawai barisan hadapan supaya mereka dapat melihat sendiri bagaimana pegawai setaraf mereka melaksanakan tugas secara profesional di negara yang mempunyai kawalan sempadan yang ketat,” katanya di pejabatnya di sini, pada Rabu.
Menjelaskannya, Mohd Shuhaily berkata, kaedah pengendalian penumpang, pendekatan komunikasi serta pematuhan prosedur yang diamalkan ABF boleh dijadikan penanda aras dalam memperkukuh budaya kerja dan integriti dalam kalangan pegawai AKPS.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan pelaksanaan latihan dua hala itu masih berada di peringkat perbincangan kerana melibatkan aspek kewangan, permohonan serta kelulusan rasmi.
Selain pembangunan kapasiti, beliau berkata AKPS turut berbincang dengan rakan antarabangsa mengenai pertukaran maklumat serta perkongsian risikan, khususnya berkaitan perdagangan dan pergerakan kargo.
Menurutnya, pendekatan penguatkuasaan berasaskan risikan amat penting memandangkan jumlah kontena yang memasuki negara adalah sangat besar, mencecah ribuan setiap hari dan jutaan setiap bulan, sekali gus memerlukan kaedah kawalan yang lebih bersasar dan berkesan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


