PETALING JAYA: Baru dua bulan membeli kereta baharu selepas kenderaan lamanya rosak akibat banjir, seorang ibu tunggal sekali lagi menjadi mangsa banjir kilat di Petaling Jaya pada Sabtu.
Sivangasari Ramaragu, 41, yang juga ibu kepada dua anak berusia sembilan dan lapan tahun berkata, kejadian itu bukan pengalaman pertama buat dirinya.
Menurut pekerja swasta itu, kereta Proton Persona yang digunakannya selama 10 tahun sebelum ini mengalami kerosakan besar selepas ditenggelami banjir pada 18 April lalu.
“Pada 18 April 2026, kira-kira jam 3 petang, kereta saya ditenggelami banjir dan kemudian diisytiharkan rosak sepenuhnya.
“Selepas menerima pampasan insurans, saya membeli kereta baharu tetapi baru lebih sebulan menggunakannya, kereta ini pula ditenggelami banjir,” katanya ketika ditemui Astro AWANI hari ini.
Sivangasari berkata, kejadian terbaharu itu amat memberi kesan kepadanya selepas baru kehilangan suami dan kini sekali lagi berdepan kehilangan kenderaan yang menjadi keperluan harian keluarganya.
“Saya sangat sedih kerana baru sahaja kehilangan suami dan sekarang kereta saya pula terjejas, bayangkan apa yang saya rasa,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Hemalatha Mathiwahnan, 40, berkata, hujan lebat selama kira-kira setengah jam sudah cukup untuk menyebabkan banjir kilat sehingga ramai pemilik kenderaan tidak sempat menyelamatkan kereta masing-masing.
Sehubungan itu, Hemalatha berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera memandangkan kejadian sama didakwa telah berlaku berulang kali di kawasan berkenaan.
“Kalau berlaku sekali, mungkin boleh dianggap kejadian malang tetapi ini sudah banyak kali berlaku dan pihak berwajib perlu mengambil tindakan segera supaya ia tidak berulang,” kata Hemalatha.
Kata Hemalatha, kereta berkenaan merupakan satu-satunya kenderaan yang digunakannya untuk berulang-alik ke tempat kerja.
Menurutnya, dia kini terpaksa meminjam kenderaan ahli keluarga sekiranya proses pembaikan mengambil masa antara tiga hingga empat bulan seperti yang dimaklumkan pusat servis.
Sementara itu, pelajar Universiti Malaya, Yian Jian Jia, 22, berkata, amaran banjir hanya dikeluarkan selepas air mula memasuki kawasan parkir.
Yian yang bekerja sambilan sebagai kru di Ekspo Amway Malaysia berkata, keadaan sesak menyebabkan ramai pemilik kenderaan tidak sempat mengalihkan kereta ke tempat lebih tinggi.
Dia turut menjadi mangsa apabila kereta lama milik bapanya yang dibawa dari Ipoh untuk kegunaannya sepanjang menuntut di Kuala Lumpur dimasuki air.
“Ketika amaran dikeluarkan, air sebenarnya sudah mula naik dan keadaan di dalam kawasan parkir sangat sesak,” kata Yian.
Seorang lagi pelajar, Nurul Nabila Mukhtar, 25 berkata, keretanya turut dimasuki air dan terpaksa ditunda ke pusat servis.
Kejadian itu memaksanya bergantung kepada perkhidmatan e-hailing untuk berulang-alik ke sekolah sementara menunggu kenderaannya dibaiki.
“Buat sementara waktu, saya mungkin perlu menggunakan e-hailing kerana saya perlu berada di sekolah seawal jam 7 pagi,” kata Nabila.